Malaysia Dateline

Lebih ramai majoriti senyap tidak sokong kerajaan campuran Umno-Pas, kata Wan Rahim

Pengerusi Amanah Kelantan, Wan Rahim Wan Abdullah menyifatkan cadangan untuk mewujudkan kerajaan campuran di negeri yang ditadbir Barisan Nasional (BN) dan Parti Islam SeMalaysia (Pas), akan mewujudkan lebih ramai ‘majoriti senyap’ yang tidak akan menyokong kerjasama itu berlaku.

Wan Rahim berkata,dari segi politik, kedua dua partiĀ  tidak boleh mewujudkan kerajaan campuran di Kelantan. Ini kerana tidak semua ahli Umno di negeri itu menyokong kerjasama itu dan sebahagian ahli Pas juga tidak menerima kerjasama umno bersama parti mereka.

“Majoriti senyap Pas dan Umno di Kelantan sudah bermula sejak awal lagi dan pertembungan dua parti tersebut berlaku di segenap kawasan.

“Tetapi hari ini jika pertembungan itu berjaya diatasi Umno-Pas selepas pilihan raya umum ke 14, kita ucapkan selamat maju jaya,” katanya ketika dihubungi Malaysia Dateline.

Mengulas lanjut, Wan Rahim berkata,kerjasama dua parti politik itu bukan sesuatu yang baharu. Ia merupakan ulangan dari sejarah kerjasama politik dua parti itu.

“Ini perkembangan yang menarik dan kami mengalu-alukan usaha mereka untuk mewujudkan kerajaan campuran itu.

“Jika mereka sudah tekad dengan pilihan tersebut, kita tidak boleh kata apa-apa lagi. Kita tengok apa yang akan berlaku nanti,” katanya.

Pada Sabtu Timbalan Presiden Umno Datuk Seri Mohamad Hasan,dipetik berkata, parti itu bercadang mewujudkan kerajaan campuran di Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perlis.

Malah Pas akan bersama menyelaras jawatankuasa yang akan dibentuk itu untuk merealisasikan kerajaan campuran idaman Umno-Pas ini yang akan dikenali sebagai kerajaan penyatuan ummah.

Bagaimanapundalam reaksi balas Naib Presiden Pas Datuk Iskandar Samad, semalam, berkata, masih terlalu awal parti itu membincangkan mengenai perkara (kerajaan campuran) berkenaan.

Malah kata Iskandar beliau sendiri tidak tahu cadangan mewujudkan kerajaan campuran kerana ujarnya, Pas hanya memberi fokus mengenai kerjasama di peringkat Pilihan Raya Kecil (PRK) yang bakal dihadapi calon BN di Rantau, selepas berlakunya pertemuan kedua-dua pemimpin utama Pas dan Umno yang diadakan pada 5 Mac lalu.