Lebih RM300 juta dibelanjakan bagi program kebajikan di P. Pinang

Lebih RM300 juta dibelanjakan bagi program kebajikan di P. Pinang
Chow Kon Yeowbercakap kepada media selepas meninjau pembayaran sumbangan program penghargaan warga emas di Georgetown semalam.

Sejak 10 tahun lalu, kerajaan negeri Pulau Pinang telah membelanjakan lebih RM300 juta bagi pelbagai program-program kebajikan untuk rakyat negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, peruntukan tersebut turut melibatkan sumbangan bagi program penghargaan kepada warga emas yang berusia 60 tahun dan keatas.

Katanya lagi, menurut rekod sedia ada, sejumlah 183,440 warga emas layak menerima faedah daripada program penghargaan warga emas bagi tahun ini.

Sehubungan itu jelasnya, usaha akan dilaksanakan bagi memberi kemudahan pembayaran yang lebih baik kepada warga emas terlibat melalui perkhidmatan bayaran secara terus ke akaun penerima.

“Selain dari itu, kerajaan negeri juga ingin mengkaji semula keberkesanan program-program kebajikan ’emas’ yang telah pun dilaksanakan sejak 10 tahun yang lalu.

“Dengan adanya kajian tersebut, ia dapat dikenal pasti samada wujudnya pertindihan program yang sama antara kerajaan negeri dan juga kerajaan pusat.

“Maka itu tanggungjawab ini telah diberikan kepada Timbalan Ketua Menteri 1, bersama-sama dengan Pegawai Kewangan Negeri bagi melaksanakan hasil kajian tersebut, ” ujarnya.

Malah kata Chow lagi, bukan suatu perkara yang mudah untuk menghentikan mana-mana program kebajikan yang telah berjaya memberi manfaat kepada rakyat.

“Walaupun pelbagai program kebajikan tersebut melibatkan peningkatan peruntukan yang banyak setiap tahun, ia akan tetap diberi pertimbangan yang sewajarnya.

“Tidak dapat dinafikan pelbagai program kebajikan yang telah dilaksanakan dan memberi manfaat sudah pasti rakyat amat mengharapkan ia dapat diteruskan.

“Sejajar dengan itu, kerajaan negeri akan tetap memberi perhatian serius terhadap hasrat dan harapan rakyat tersebut, ” tambahnya lagi.

Antara pelbagai program kebajikan yang telah pun dilaksanakan oleh kerajaan negeri selain penghargaan kepada warga emas ialah program penghargaan bagi anak emas, ibu emas, pelajar emas dan sebagainya.

Sumbangan turut diberikan kepada pelbagai golongan masyarakat termasuklah nelayan, pemandu teksi, operator bas sekolah, penarik beca dan lain-lain program lagi.