Lebih RM4 bilion tanah dijual kerajaan terdahulu, kata Guan Eng

Lebih RM4 bilion tanah dijual kerajaan terdahulu, kata Guan Eng

Kementerian Kewangan hari ini menafikan dakwaan yang menyatakan kerajaan telah membuat penjualan tanah miliknya sejak Pakatan Harapan mengambil alih pemerintahan negara pada 8 Mei 2018.

Menterinya Lim Guan Eng berkata pada masa yang sama lebih RM4 bilion tanah milik Kerajaan Persekutuan dijual kerajaan terdahulu antara tahun 2010 hingga 2017.

“Malah, kebanyakan penjualan tanah milik kerajaan yang berlaku dalam tempoh tersebut dilakukan secara rundingan terus, dan bukannya secara tender terbuka,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 14 plot tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP) dijual di sekitar Kuala Lumpur dan dua di Selangor dari tahun 2010 hingga September 2019, katanya.

Sementara itu, Lim berkata urusan penyahlaburan dan pelupusan aset bukan-teras dan bukan-kritikal negara adalah bidang kuasa Jabatan Perdana Menteri, bertujuan mengimbangkan kembali portfolio kerajaan dan menjajarkan kembali peranan sektor awam.- BERNAMA