Malaysia Dateline

Lebih RM5,000 lesap sampai tinggal seringgit je dekat bank, rupanya terbagi nombor TAC pada ‘scammer’

Sejak kebelakangan ini ramai cuba mendedahkan malang yang menimpa mereka apabila duit simpanan di dalam bank lesap begitu sahaja gara-gara scammer.

Sama seperti individu ini yang menggunakan akaun Facebook Fairul Asni Hamzah. Dia meluahkan rasa terkejut apabila mendapati wang simpanannya di bank berjumlah RM5,444 hilang ketika dia membuat semakan akaun bank semalam.

Menerusi perkongsiannya, hampir lima transaksi dibuat oleh scammer berkenaan untuk melesapkan wang simpanan yang difahamkan adalah modal perniagaannya.

“Nak menangis rasa. Nak tergelak pun ada, nak down pun ada. Sampai tinggal tu je kau kebas.Sekurang-kurangnya tinggal lah kat aku RM50 ke RM20,” tulisnya.

Pada awalnya ramai yang merasa bingung bagaimana bank boleh membiarkan lebih ramai pengguna mengalami kerugian. Timbul persoalan demi persoalan terhadap tahap keselamatan sesebuah bank di negara ini dalam menjaga simpanan para pelanggan mereka.

Bagaimanapun dalam hantaran berasingan yang baru dikemaskini hari ini, pemuda berkenaan memaklumkan bahawa dirinya terpedaya dengan taktik scammer yang memintanya menghantar nombor TAC.

Scammer berkenaan kononnya mendakwa dia telah tersalah meletakkan nombor pemuda berkenaan di sebuah laman web jualan, di mudah.my.

Dia kemudian meminta pemuda berkenaan untuk menghantar nombor TAC kepadanya dengan alasan untuk dia mengubah semula nombor yang diletakkan di laman itu.

Jika tiada nombor TAC, scammer itu berkata nombor telefon tidak akan boleh diubah dan pelanggan lain akan terus menelefon nombor yang salah itu.

Pemuda berkenaan sememangnya ragu-ragu kerana bimbang ianya scammer, namun melihat gaya mesej yang seolah terdesak itu membuatkannya setuju untuk berkongsi mesej TAC yang dihantar ke nombornya.

Itulah permulaan kepada kehilangan wang berjumlah lebih RM5,000.

Antara perbualan whatsApp yang dikongsi pemuda berkenaan.

Baca juga: Tokoh ini akui Syeikh Yusuf berhikmah perbetul pendapat ulama yang terlalu bermudah-mudah dalam urusan agama, ikut kemahuan rakyat atau pemerintah

Baca juga: Pegawai KDN didakwa terima suapan lebih RM100,000 termasuk skuter XMAX