Lebih RM7 juta diterima selepas sehari Tabung Harapan Malaysia dibuka

Lebih RM7 juta diterima untuk hari pertama selepas THM dilancarkan.

Sehingga 3 petang hari ini, sebanyak RM7,075,800.79 telah berjaya dikumpulkan oleh Tabung Harapan Malaysia (THM) yang dibentuk oleh kerajaan untuk membolehkan rakyat negara ini turut menyumbang kepada negara.

Demikian diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng dalam sidang medianya hari ini.

Sumbangan kepada tabung ini dikecualikan cukai, “Jadi simpan resit anda,” kata Lim Guan Eng.

THM yang diumumkan penubuhannya oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet semalam telah mula menerima sumbangan sebaik sahaja ia dibuka.

Terdahulu dari itu, seorang aktivis muda yang juga graduan undang-undang, Shazarina Bakti telah melancarkan usaha pungutan derma melalui sumbangan orang ramai untuk membantu Malaysia membayar hutangnya.

Selepas seminggu ia dilancarkan, laman yang beliau buat telah berjaya memungut RM13,476.57, kata Lim Guan Eng dalam kenyataannya hari ini yang turut mengucapkan terima kasih atas usaha anak muda itu.

Semalam, selepas Dr Mahathir mengumumkan pembentukan Tabung Harapan Malaysia,  Lim Guan Eng telah mengumumkan sumbangan mereka boleh diberikan menerusi akaun Maybank 566010626452.

Beliau berkata penubuhan tabung itu yang diumumkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad selepas mesyuarat Kabinet hari ini, adalah bagi membolehkan Kementerian Kewangan menguruskan sumbangan rakyat secara sistematik dan telus.

“Derma dan sumbangan yang boleh dihulurkan adalah dalam bentuk mata wang tempatan (Ringgit Malaysia) sahaja,” katanya dalam kenyataan itu.

Lim turut merakamkan penghargaan bagi pihak kerajaan di atas keprihatinan dan segala sumbangan ikhlas rakyat Malaysia dalam menghadapi keadaan ekonomi semasa.

Menurutnya berdasarkan kepada perkembangan semasa ekonomi negara dan keprihatinan rakyat terhadap kedudukan hutang negara, wujud kesedaran dalam kalangan rakyat Malaysia untuk membantu kerajaan.

“Rakyat secara sukarela ingin berkongsi pendapatan mereka dengan menyalurkan derma dan sumbangan ikhlas mereka kepada kerajaan bagi menangani isu tersebut,” katanya.

Terdahulu, perdana menteri berkata terdapat ramai rakyat Malaysia sanggup memberi derma kepada kerajaan selepas mengetahui kedudukan kewangan negara dan kerajaan mengalu-alukan sikap patriotik mereka.

 

7.8
OVERALL SCORE
: 10.0
3 user votes x 7.0
CATEGORIES
TAGS