Malaysia Dateline

Lebih RM7,000 tawaran hadiah pertandingan cipta lagu tamat darurat

Sebanyak lebih RM7,000 hadiah ditawarkan dalam Pertandingan Mencipta Lagu Tema bagi kempen penamatan proklamasi darurat.

Pengerusi Jawatankuasa Merayu Penamatan Proklamasi Darurat, Khalid Abd Samad berkata, pemenang tempat pertama bakal membawa pulang hadiah bernilai RM3,000 manakala pemenang kedua RM2,000 dan tempat ketiga RM1,000.

Selain itu, jelasnya, tujuh hadiah saguhati dengan masing-masing bernilai RM250 juga disediakan bagi karya yang dihasilkan tidak lebih daripada empat minit itu.

“Kita semua tahu yang mempunyai kuasa untuk menamatkan darurat adalah Yang di-Pertuan Agong.

“Oleh sebab itu, sempena Hari Keputeraan Agong esok, maka kita lancarkan program ini. Pertandingan ini akan berakhir 30 Jun ini,” katanya menerusi sidang media secara maya hari ini.

Beliau yang juga Pengarah Komunikasi AMANAH itu berkata, pertandingan tersebut terbuka kepada semua warganegara Malaysia dan hanya karya dalam bahasa kebangsaan sahaja akan diterima.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Shah Alam berkenaan berharap orang ramai akan menyertai pertandingan tersebut dalam menyampaikan suara rakyat secara kreatif dan berseni.