Malaysia Dateline

Lebih separuh peniaga tidak pasti hala tuju ekonomi PH

 

Syarikat Penyelidikan Pasaran dan Perundingan Strategi, mendedahkan lebih separuh dari peniaga di Malaysia masih tidak pasti tentang hala tuju dasar ekonomi Pakatan Harapan (PH) untuk memajukan ekonomi.

Perkara itu didedahkan oleh Perunding Perniagaan Ipsos, Kiranjit Singh yang menjalankan kajian dengan lebih 250 perniagaan di Malaysia termasuk perusahaan Industri Kecil dan Sederhana (IKS) yang berpendapat prestasi ekonomi PH jatuh sedikit dibawah jangkaan perniagaan selepas Pilihanraya Umum (PRU-14).

Katanya, setakat April 2019, sentimen terhadap prospek perniagaan sendiri di Malaysia dalam tempoh setahun akan datang menunjukkan indeks yang positif iaitu skala 3.1 dari skala 5.

“Walaupun peniaga masih agak positif tentang perniagaan mereka di Malaysia dalam tempoh setahun akan datang, terdapat sedikit penurunan keyakinan mereka berbanding dengan tahun lepas. Peniaga kini kurang optimistik tentang prospek perniagaan mereka sendiri berbanding Julai 2018 iaitu skala 3.5 dari skala 5.

“Kebimbangan utama yang dapat dilihat antara peniaga ialah kemungkinan berlakunya kelembapan ekonomi tempatan ditambah pula dengan cabaran ekonomi selain ketidakpastian tentang perancangan ekonomi yang menjejaskan keyakinan perniagaan Malaysia.

“Oleh kerana majoriti perniagaan terutamanya IKS menjana pendapatan mereka di dalam negara, mereka ingin melihat dasar yang akan merangsang ekonomi tempatan,”katanya.

Sama seperti kajian ‘What Worries Malaysian Businesses’ sebelum ini, turun naik Ringgit sekali lagi dinyatakan oleh perniagaan Malaysia sebagai satu lagi kebimbangan utama mereka.

Menurut Kiranjit, peniaga ingin kerajaan memberikan tumpuan pada penstabilan mata wang tempatan disamping memastikan dasar yang konsisten, dan meningkatkan sokongan kewangan untuk perniagaan dalam tempoh setahun akan datang.

Tiga aspek utama yang perlu diberi perhatian adalah menstabilkan ringgit, memastikan dasar yang konsisten, dan meningkatkan sokongan dan bantuan kewangan untuk perniagaan seperti geran, dana, dan pinjaman.

“Salah satu pendekatan yang dicadangkan untuk memastiman komunikasi yang berkesan adalah untuk memaklumkan perniagaan tentang keadaan ekonomi negara secara suku tahunan, termasuk inisiatif yang telah dilaksanakan dan yang sedang dalam perancangan.

“Selain itu, kerajaan juga tidak wajar membuat penyataan berkaitan dengan dasar yang masih dalam peringkat perancangan awal untuk mengurangkan salah tafsir, yang boleh menyebabkan ketidakpastian yang lebih tinggi dan keresahan di kalangan perniagaan.

“Untuk meningkatkan daya saing ekonomi Malaysia, majoriti perniagaan berpendapat bahawa kerajaan harus mengutamakan pembangunan infrastruktur digital yang mantap di seluruh negara,” tambahnya lagi.