Malaysia Dateline

Lebih setengah juta pekerja asing sudah divaksin di Selangor

Berdasarkan data di dalam sistem MySejahtera sehingga 22 Ogos 2021, seramai 597,724 orang warga asing di Negeri Selangor telah mendapat vaksinasi dos pertama manakala 333,847 orang bagi dos kedua.

Exco kerajaan negeri Selangor, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, kerajaan negeri turut mengambil berat kesejahteraan warga asing yang menetap di Negeri Selangor kerana golongan ini juga merupakan sebahagian daripada komuniti masyarakat dan turut menyumbang kepada ekonomi negeri.

“Berdasarkan data Jabatan Imigresen Malaysia (JIM), lebih 30 peratus pekerja di Selangor adalah warga asing,” kata beliau dalam jawapan kepada pertanyaan dari Chua Wei Keat, Adun Rawang di sidang Dewan Negeri Selangor.

Menurut Dr Mariah, Negeri Selangor mencatatkan kes Covid-19 yang tertinggi dengan kluster kilang dan tempat kerja antara penyumbang utama kadar kes harian.

Situasi ini turut menyebabkan golongan pekerja termasuk warga asing perlu diberi vaksinasi dengan kadar segera bagi memastikan penularan Covid-19 dapat dikawal, katanya.

Menyedari hakikat ini, katanya, pengenalan program SELVAX Industri yang turut melibatkan pekerja warga asing merupakan satu usaha tambahan bagi melengkapi usaha Kerajaan Persekutuan.

Selain itu juga, katanya, program SELVAX yang telah dilaksanakan secara walk-in bermula 3 Ogos 2021 yang turut menyediakan slot khusus bagi warga asing pada 10 Ogos hingga 13 Ogos 2021 bertempat di Kompleks Sukan PKNS, Kelana Jaya bagi mempercepat sasaran imuniti kelompok di Negeri ini.

Dr Mariah turut menyenaraikan cabaran yang perlu dihadapi dalam pemberian vaksinasi kepada warga asing iaitu:

i. Ketiadaan dokumen sah oleh segelintir warga asing menyebabkan golongan ini tidak mahu mengambil vaksin;

ii. Terdapat warga asing yang mempunyai dokumen dengan nombor pasport yang sama tetapi negara berlainan;

iii. Janji temu vaksinasi warga asing diberikan secara berkumpulan besar di sesuatu PPV menyebabkan kesesakan dan aduan dari warganegara. Bagi mengatasi masalah ini, pihak Covid-19 Immunisation Task Force (CITF) telah mengasingkan temujanji bagi warga asing di PPV terpilih;

iv. Warga asing yang mempunyai masalah komunikasi (language barrier) dan hadir tanpa penyelia telah mengakibatkan terdapat warga asing yang sedang dalam kuarantin tetapi hadir ke PPV; dan

v. Golongan warga asing yang tidak mempunyai rekod pendaftaran sah atau Pendatang Tanpa Izin (PATI) perlu disasarkan bagi pelaksanaan outreach pemberian vaksin satu dos.