Lebuh Raya Jelas: Dulu umum, sekarang Zambry nafi?

Lebuh Raya Jelas: Dulu umum, sekarang Zambry nafi?

Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Perak mempersoal sikap Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir yang seolah-olah tidak tahu kewujudan projek Lebuh Raya Jelapang-Selama-Batu Kawan (Jelas).

Pengerusinya Asmuni Awi berkata, Zambry sendiri telah mengumumkan projek tersebut di beberapa buah program termasuklah semasa Majlis Jamuan Rakyat Peringkat Daerah Kecil Selama pada 17 Julai 2010 di hadapan Sultan Nazrin Muhibbudin Shah yang pada ketika itu sebagai Pemangku Sultan Perak.

Sebelum itu, akhbar Utusan Malaysia pada 11 Mei 2010 melaporkan, Adun Pangkor itu telah menyaksikan majlis menandatangai Perjanjian Persefahaman di antara syarikat yang menguruskan projek tersebut iaitu Beta Mutiara Technologies (BMT) dengan ELAF Bank Bahrain.

“Bagaimana Zambry boleh mengatakan projek ini misteri sedangkan ia dalam pengetahuan beliau selaku menteri besar.

“Saya tak kata beliau tipu, saya anggap beliau lupa,” katanya dalam sidang media yang diadakan di Wisma Amanah Perak, Ipoh, hari ini.

Hadir sama ialah Setiausaha Amanah Perak, Salman Salleh dan Ahli Jawatankuasa Amanah Perak, Safarizal Saleh.

Pada 21 Januari lalu, Zambry menyatakan kerajaan negeri tidak pernah memberikan sebarang perakuan terhadap pelaksanaan projek lebuh raya yang menghubungkan Jelapang-Selama-Batu Kawan.

Beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga difahamkan tidak pernah memberikan sebarang kelulusan pembinaan laluan baharu tersebut.

Mengulas lanjut, Asmuni mengakui projek tersebut sangat penting bagi meningkatkan serta menjana ekonomi penduduk di kawasan-kawasan terlibat sepanjang lebuh raya tersebut.

Justeru sekiranya berlaku masalah dalam projek tersebut, Zambry sewajarnya memberitahu tentang perkara sebenar, bukannya menafikan kewujudan projek tersebut.

“Kami mengalu-alukan projek lebuh raya ini yang akan memberi manfaat kepada banyak pihak, beliau (Zambry) tidak sepatutnya menafikannya.

“Beliau tidak sewajarnya cuba menutup perkara sebenar tentang isu ini, saya harap Zambry bersifat Amanah dalam menjelaskan dan memberi jawapan,” katanya lagi.

Projek lebuh raya yang dianggarkan bernilai RM4.6 bilion itu dilengkapi dengan tiga lorong bagi setiap arah utara dan selatan.

Sepanjang lebuh raya ini akan diletakkan pencahayaan jalanan LED yang dikuasakan oleh solar dan memiliki terowong sepanjang tiga kilometer yang melalui Gunung Bintang.