Malaysia Dateline

Lebuh raya utama di seluruh Semenanjung lengang pagi Aidiladha

Aliran trafik di sekitar Lembah Klang, selatan tanah air dan di Pantai Timur Semenanjung dilaporkan lancar dan terkawal pada pagi sambutan Hari Raya Aidiladha hari ini.

Setakat tengah hari tadi, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) melaporkan trafik lengang di sepanjang Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak.

Aliran trafik yang rendah juga kata LLM berlaku di Lebuhraya Pantai Timur (LPT) 1 dan LPT 2 termasuk lokasi di sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Kuala Terengganu.

Maklumat keadaan trafik di lebuhraya terbabit dimaklumkan LLM dari jam ke jam menerusi Twitter rasminya.

Menurut LLM, trafik masih lengang pada jam 8.20 pagi di sepanjang lebuhraya KL dan Karak serta LPT1 dan LPT2 (E8) termasuk lokasi di sekitar Plaza Tol Gombak, Bentong, Karak dan Kuala Terengganu berikutan aliran trafik yang rendah.

Pada jam 9.34 pagi, trafik di semua lebuhraya bertol di Lembah Klang masih dalam keadaan lancar dan terkawal berikutan aliran trafik yang rendah.

LLM juga mendapati aliran trafik di atas jambatan di kedua-dua arah Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah (JSAHMS) di Pulau Pinang (E28) dan Jambatan Pulau Pinang (JPP) atau E36 masih dalam keadaan lancar dan terkawal setakat jam 10.42 pagi.

Di Tambak Johor (E2) dan Linkekedua (E3), trafik di kedua-dua arah laluan Malaysia-Singapura masih lancar & terkawal pada jam 11.03 pagi.

Pada jam 12.23 tengah hari pula, trafik di laluan utama Lebuhraya Lembah Klang Baru (NKVE) dan Lebuhraya Utara Selatan Hubungan Tengah (ELITE) masih dalam keadaan lancar dan terkawal.

“Amalkan pemanduan berhemah dan patuhi SOP ketika berada di RnR dan Hentian Sebelah lebuhraya,” nasihat LLM lagi.

Sebelum ini, berlaku peningkatan aliran trafik di lebuh raya menghala ke timur beberapa hari sebelum Aidiladha.

Pada 18 Julai lalu, Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menerima dokumen Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) sebagai kelulusan pergerakan sah bagi tempoh empat hari mulai 18 hingga 21 Julai ini.

Jelasnya, keengganan PDRM menerima dokumen MITI untuk pergerakan rentas negeri itu susulan terdapat individu menyalah guna surat itu untuk pulang ke kampung menyambut Aidiladha.