Lebuhraya Jelas: MB Perak saran Asmuni tanya kerajaan persekutuan

Lebuhraya Jelas: MB Perak saran Asmuni tanya kerajaan persekutuan

Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abdu Kadir membidas kenyataan Pengerusi Amanah Negeri Perak Asmuni Awi sebagai tidak relevan demi mengejar populariti dalam isu membabitkan projek Lebuh Raya Jelapang-Selama-Batu Kawan (Jelas).

Zambry berkata, tugas Asmuni hanya suka buat komen dan bertanya.

“Dia ini (Asmuni) kerja nak komen dan bertanya sahaja, itu hari dia tanya pasal Bagan Datuk, sekarang dia tanya pula pasal Jelas.

“Kerja kita dia suka nak tumpang semangkuk, bila dah kerja tumpang semangkuk, dia cuba dapatkan populariti dengan hanya bertanya,” ujarnya dalam satu kenyataan semalam.

Zambry difahamkan menjawab soalan media berkaitan dakwaan Asmuni bahawa Zambry mungkin terlupa beliau hadir menyaksikan sendiri majlis perjanjian persefahaman antara syarikat Beta Mutiara Technologies (BMT) Sdn Bhd dengan ELAF Bank Bahrain yang dianggap oleh Asmuni dalam pengetahuan Zambry.

Zambry sebelum itu, menyatakan kerajaan negeri tidak pernah memberikan sebarang perakuan terhadap pelaksanaan projek lebuh raya yang menghubungkan Jelapang-Selama-Batu Kawan.

Beliau berkata, Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) juga difahamkan tidak pernah memberikan sebarang kelulusan pembinaan laluan baharu tersebut.

“Beliau tidak sewajarnya cuba menutup perkara sebenar tentang isu ini, saya harap Zambry bersifat Amanah dalam menjelaskan dan memberi jawapan,” kata Asmuni.

Datuk Seri Zambry Abdul KadirBagi Zambry, sebarang perkara mengenai pembinaan lebuhraya bukan dibawah bidang kuasa negeri justeru “mereka” harus bertanyakan kepada kerajaan pusat.

Justeru Zambry mencadangkan Asmuni, yang juga seorang peguam, mengajukan soalan tersebut kepada kerajaan Persekutuan dan bukan kepada kerajaan negeri.

“Dia tahu sebenarnya kalau isu lebuh raya ini kena tanya kerajaan Persekutuan, bukan tak tahu…nak buat lebuh raya bukan di peringkat kerajaan negeri.

“Dari segi cadangan atau sebagainya semua orang boleh cadangkan, tapi akhirnya keputusan itu terletak pada kerajaan Persekutuan jadi pergi tanya kerajaan persekutuan lah sepatutnya,” ujarnya.

Projek bernilai RM4.6 billion itu sejauh 116 km yang membabitkan dua buah negeri—Perak dan Pulau Pinang.

Pemilik projek mendakwa 13 persimpangan diwujudkan yang mana sembilan daripada persimpangan itu berada di Perak serta terdapat sebuah terowong sepanjang 3.0 kilometer yang merentangi Banjaran Bintang. Sembilan persimpangan itu adalah di Meru Raya (Jelapang), Klebang, Kanthan Baru, Sungai Siput (U), Karai, Kati, Anak Kurau, Batu Kurau dan Selama.

Kos pembinaannya akan dibiayai oleh Elaf Bank dari Bahrain melalui memorandum persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada Mei 2010 dengan Syarikat BMT Jelas Sdn Bhd.

Jurucakap Jelas juga mendakwa projek berkenaan dimajukan kepada kerajaan persekutuan melalui Unit Kerjasama Awam Swasta (Ukas) dan telah beberapa kali mengadakan taklimat dan perbincangan tentang Lebuhraya Jelas ini sehingga ke peringkat Jawatankuasa Unit Kerjasama Awam Swasta (JKAS) dan kini sedang menunggu kelulusan.

Artikel Berkaitan : Lebuhraya Jelas: Dulu umum sekarang Zambry nafi

TAGS