Malaysia Dateline

Lee Zii Jia pengganti Lee Chong Wei

Semalam dunia badminton Malaysia kembali menggegarkan dunia apabila Lee Zii Jia pemain perseorangan lelaki negara menjadi juara kejohanan All England setelah berjaya mengenepikan juara bertahan Viktor Alexsen dari Denmark dan Kento Momota pemain perseorangan nombor satu dunia dari Jepun.

Perlawanan berlangsung hampir 74 minit itu begitu sengit sekali sehingga ia membawa ke set penentuan. Lee Zii Jia akhirnya menjinakkan Axelsen 30-29,20-22 dan 21-9 untuk merangkul kejuaraan tersebut sekaligus menebus kekecewaannya yang pernah mengalahkan beliau dalam saingan All England yang lalu.

Kejohanan All England adalah salah satu pertandingan badminton berprestij dunia selain Kejohanan Dunia atau Piala Thomas, sudah pasti ia satu detik indah buat Lee Zii Jia. Kemenangan ini juga meletakkan nama Lee Zii Jia sebaris pemain elit dunia.

Lee Zii Jia mungkin pengganti terbaik, Datuk Lee Chong Wei yang mengharumkan nama negara semenjak satu dekad yang lalu. Backhand smash milik Lee Zii Jia juga dilihat seakan-akan pemain legenda Indonesia, Taufik Hidayat yang dilihat seringkali mengelirukan lawan di gelanggang.

Malah aksi beliau dalam mengambil bola tanggung juga seperti bayangan Lin Dan. Jika Lee Zii Jia dapat mengekalkan momentum dan prestasinya, saya yakin beliau akan merangkul lebih banyak kejohanan utama dunia.

Saya memerhatikan perkembangan badminton Malaysia semenjak beberapa tahun yang lalu. Jika dahulu kita terlampau bergantung pada Lee Chong Wei sehingga tiada pemain pelapis yang ditonjolkan, saya mengharapkan BAM terus mengeluarkan pemain pelapis negara untuk mengharumkan nama negara seiring dengan Lee Zii Jia.

Jika kita lihat di China, Korea, Jepun, Thailand, India, Indonesia, Denmark sekalipun mereka bukan menghantar satu pemain yang berpotensi sahaja malah pelbagai pemain dihantar supaya mereka diberi peluang menyinar dan mendaki ranking dunia. Malahan, pemain-pemain bersaing sesama mereka merebut kejohanan utama dunia.

Kita mungkin boleh belajar dari kesilapan yang lalu apabila terlampau fokus pada satu pemain sehingga akhirnya kita ketandusan pemain pelapis untuk pairing bersama Lee Chong Wei di pentas dunia.

Jika kita lihat, China sering menghantar lebih dari seorang pemain untuk bertanding di kejohanan badminton dunia supaya pemain utama mereka tidak terbeban dari sudut psikologinya dan mereka bersaing mendapat slot pemain utama negara. Oleh itu, persaingan mereka menjadi lebih sihat kerana mereka bukan sahaja perlu mengalahkan pemain negara lain malah bersaing dengan pemain negara mereka sendiri.

Benar untuk menghasilkan seorang pemain bertaraf dunia bukan satu perkara yang mudah namun usaha-usaha mencari pemain pelapis itu tidak perlu berhenti hanya kerana kita berjaya menemui “permata” baru. Bagi Lee Zii Jia perjalanan baru sahaja bermula dan kasih banyak usaha perlu diteruskan untuk meletakkan beliau sebaris pemain legenda badminton dunia.

Bagi BAM (Badminton Association of Malaysia), mereka bukan sahaja perlu merancang dan meneliti program akar umbi tetapi juga berterusan mengeluarkan pemain yang boleh diletakkan untuk bersaing di persada dunia. Kita mahukan Lee Zii Jia bersedia bukan sahaja dari segi fizikal malah dari segi kekuatan mentalnya juga. Semoga momentum Lee Zii Jia ini berterusan dan menaikkan nama Malaysia sekali lagi sebagai gergasi badminton dunia. Majulah sukan untuk negara!