Legoland belanja 10,000 murid sekolah

Legoland belanja 10,000 murid sekolah
Suasana Legoland ketika dikunjungi oleh murid sekolah

Legoland Malaysia hari ini memberikan tiket percuma kepada seramai 10,000 murid sekolah di seluruh negeri Johor.

Menurut Exco Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Negeri Johor, Aminolhuda Hassan mengucap terima kasih kepada pihak Legoland yang sudi untuk mengadakan program tersebut.

Beliau turut berkata, Legoland juga dilihat bersama-sama dengan masyarakat khususnya murid sekolah yang berada di luar bandar untuk merasai tempat-tempat sebegini.

“Selain lawatan, didikan kepada murid-murid berkenaan penjagaan kehidupan laut turut dibuat dan perkara ini amat penting untuk ditanam dalam minda kanak-kanak.

“Selain itu pengenalan dengan kehidupan laut seperti batu karang, ikan dan hidupan yang lain turut diterangkan kepada murid-murid yang hadir hari ini.

“Cara ini baik selain murid berekreasi mereka juga diterangkan dengan ilmu-ilmu baru berkenaan dengan hidupan yang ada di muka bumi ini,” ujarnya ketika selesai melawat Sea Life di Legoland.

AminolhudaHassan ketika ditemuramah oleh wartawan

Dalam pada masa yang sama beliau turut menyatakan pemilihan murid-murid sekolah telah dibuat oleh Jabatan Pendidikan Malaysia (JPM) dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD).

Beliau juga menyatakan bahawa terdapat pemilihan sekolah yang difokuskan di kawasan pendalaman agar murid di kawasan terbabit diberi peluang untuk hadir di sini.

“Saya juga merasakan bahawa tindakan pemilihan sekolah ini dengan memberi peluang kepada murid-murid yang tidak pernah hadir ke sini amatlah baik.

“Selain lawatan ke tempat menarik di sini mereka turut diberikan peluang mengenali pelbagai aktiviti sihat seperti pendidikan hidupan laut dan sebagainya.

“Ia akan membabitkan sebanyak lebih 200 sekolah dan program-program sebegini bagus diteruskan di masa akan datang,” ujarnya lagi.