Legoland Malaysia lancar tarikan terbaharu, filem 4D pertama di dunia

Legoland Malaysia lancar tarikan terbaharu, filem 4D pertama di dunia

Legoland Malaysia Resort hari ini memperkenalkan tarikan terbaharu, tayangan filem empat dimensi (4D) menerusi “Lego City: Officer in Pursuit”.

Pengurus Besar Legoland Malaysia Resort Kurt Stocks berkata filem terbaharu itu akan memberi pengalaman yang hebat dengan kesan 4D seperti pecahan gelembung buih, angin yang kuat, percikan air dan asap buatan.

“Kami sebenarnya menjadi Legoland pertama di dunia yang melancarkan filem 4D ini.

“Filem ini dicipta untuk keluarga melibatkan diri sepenuhnya dalam dunia LEGO, pengalaman unik yang hanya boleh didapati di Legoland,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan filem berkenaan di taman tema itu di sini, hari ini.

Beliau berkata Legoland juga menganjurkan Hari Acara Filem Lego atau Lego Movie Event Days yang melibatkan pelbagai aktiviti yang penuh keseronokan.

“Acara itu bermula hari ini hingga 31 Mac, mulai 10 pagi hingga 6 petang, setiap hari dan pelawat boleh menonton filem termasuk Lego City: Officer in Pursuit, Scavenger Hunt dan Mystery Mosaic,” katanya.

Stocks berkata sempena Tahun Baru Cina yang bakal tiba, pelawat boleh menikmati hiasan taman indah ‘Garden of Prosperity’ di taman tema itu.

— BERNAMA