Lelaki 64 tahun mangsa rabies ke-20 meninggal dunia di Sarawak

Lelaki 64 tahun mangsa rabies ke-20 meninggal dunia di Sarawak

Seorang lelaki menjadi mangsa ke-20 kes kematian yang melibatkan jangkitan virus rabies atau anjing gila di Sarawak setakat ini.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, mangsa yang berasal dari Mukah meninggal dunia pada di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Bintulu semasa dalam perhatian rapi pakar perubatan itu pada 19 Ogos lalu.

Katanya, mangsa telah digigit oleh anjing yang diambil daripada saudaranya di Kanowit sebelum kejadian tersebut.

“Kes terbaharu ini telah menjadikan kematian rabies seramai 20 orang sejak wabak itu diisytiharkan di Sarawak pada 1 Julai 2017,” katanya dalam satu kenyataan di Kuching hari ini.

Dr. Noor Hisham memberitahu,setakat 3 Oktober tahun ini sebanyak 21 kes rabies di kalangan manusia telah dicatatkan di negeri ini.

Jelas beliau, kesemua kes telah meninggal dunia kecuali seorang kanak-kanak yang kini berumur sembilan tahun masih mengalami komplikasi neurologi teruk akibat jangkitan rabies.

Katanya, bilangan kes gigitan haiwan khususnya anjing dan kucing masih tinggi direkodkan di Sarawak ketika ini.

“Bilangan kes gigitan haiwan tersebut dengan purata dari 40 ke 60 kes sehari pada kadar yang hampir sama seperti pada tahun pertama wabak rabies.

“Pada tahun ini juga, sejumlah besar anjing dan kucing yang menggigit mangsa didapati positif ujian rabies,” ujarnya.

Berdasarkan laporan daripada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak, sehingga 30 September 2019, sebanyak 138 atau 32.8 peratus sampel daripada sejumlah 420 anjing dan kucing yang dijalankan ujian adalah didapati positif rabies.

Dr Noor Hisham berkata, kejadian kesemua kes itu mampu dielakkan sekiranya luka gigitan segera dicuci dengan sempurna bagi menghilangkan air liur haiwan di samping turut mendapatkan rawatan segera di fasiliti kesihatan.

“Jangkitan rabies kepada manusia boleh dielakkan melalui imunisasi rabies kepada haiwan tersebut.

“Sehubungan itu, pastikan haiwan peliharaan anda mendapat imunisasi rabies setiap tahun bagi memastikan mereka kekal dilindungi dari jangkitan rabies,” katanya sambil menasihati orang ramai supaya elakkan mengambil atau memelihara anjing yang tidak diketahui status kesihatannya.

Dr Noor Hisham turut menasihati orang ramai supaya sentiasa mematuhi saranan dan arahan pihak berkuasa dalam pelaksanaan Program Kawalan dan Pencegahan Rabies.