Malaysia Dateline

Lelaki ada rekod 8 kes pecah rumah, 6 kes dadah berjaya ditangkap, warga emas rugi RM80,000

Seorang lelaki 39 tahun mempunyai 8 rekod jenayah kes pecah rumah dan 6 kes membabitkan dadah berjaya ditangkap selepas seorang warga emas telah kerugian RM80,000.

Dalam kejadian pecah rumah kenderaan jenis Toyota Vios milik warga emas terbabit dilarikan termasuk, jam tangan mewah dan barang kemas di Kampung Kuala Lukut Kechil, Batu 3, Port Dickson.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, pihaknya mendapat maklumat pada 14 September lalu dalam satu kejadian kes pecah rumah yang membabitkan suspek.

Katanya, hasil risikan pada 15 September lalu, sepasukan polis dari cawangan D4 Jabatan Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Negeri Sembilan berjaya menahan suspek di Taman Bukit Chedang, Seremban.

“Polis turut merampas kereta jenis Toyota Vios bersama alat kawalan jauh, 10 utas jam tangan dan barang kemas kepunyaan mangsa.

“Hasil siasatan mendapati suspek mempunyai rekod jenayah lampau iaitu lapan kes pecah rumah dan enam kes membabitkan dadah,” ujarnya.

Aidi Sham berkata, suspek akan dituduh hari ini, di Mahkamah Majistret Port Dickson di bawah Seksyen 457 dan 379A Kanun Keseksaan.

“Hukuman Seksyen 457 adalah penjara sehingga 14 tahun dan bagi kesalahan kedua boleh dikenakan denda atau sebat.

“Bagi hukuman Seksyen 379A Kanun Keseksaan, suspek boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda,” katanya.

Baca juga: Nak redah banjir demi PRU? Zahid jangan lupa 54 terkorban, RM6.5 bilion harta benda rosak tahun lepas

Baca juga: Wanita ketagihan seks insaf lepas tidur dengan 700 lelaki, kini mahu bantu wanita lain