Tahukah anda, teh uncang yang sudah digunakan sebenarnya masih boleh dikitar semula dan mampu memberikan manfaat tambahan khususnya dalam bidang pertanian.
Perkara itu didedahkan seorang lelaki dikenali sebagai Armanshah Mohamad Tahir yang tampil berkongsi ilmu pertanian menerusi satu hantaran tular di akaun Facebook miliknya.
Menurut Armanshah, penggunaan teh uncang merupakan salah satu petua berkesan yang mampu membantu dalam menyuburkan tanaman terutamanya, pokok cili padi.
Jelasnya, beg teh uncang yang sudah digunakan perlu dibuka terlebih dahulu sebelum masukkan beberapa biji benih cili ke dalamnya kemudian tunggu seketika hingga ia bercambah.
Selepas benih sudah bercambah, tanaman tersebut barulah boleh dipindahkan ke bekas yang lebih besar dan disiram dengan air basuhan beras agar tumbuhan cepat berbunga.
“Saya menggunakan uncang teh yang sudah digunakan daripada membazir dan dibuang begitu sahaja. Daun teh boleh dijadikan sebagai medium dan baja anak benih cili.
“Caranya, anda perlu meletakkan sedikit air ke dalam uncang teh yang telah dibuka supaya lembap. Perlu diingatkan, serbuk teh akan cepat kering jika cuaca panas.
“Boleh juga guna air basuhan beras daripada sahaja ke buang dalam sinki. Malah, pokok akan jadi lebih subur dan cepat berbunga,” katanya dalam hantaran tersebut.
Turut berkongsi tip dan larangan untuk menanam cili di sekitar rumah, pokok tersebut perlulah ditanam di kawasan yang menerima paling banyak sinar cahaya matahari.
1. Jangan salah pilih bekas! Contoh bekas yang sesuai adalah pasu 16 inci X 20 inci.
2. Pastikan tiada pokok buah jambu seperti mangga, belimbing dan jambu di kawasan tanaman cili untuk mengelakkan serangan lalat buah.
3. Jangan tanam benih cili pada waktu tengah hari untuk mengelakkan kesan kejutan haba.
4. Pastikan air tidak bertakung kerana ia boleh menyebabkan pertumbuhan kulat.
Selamat mencuba! Semoga perkongsian mengenai penggunaan teh uncang sebagai medium menyuburkan tanaman cili ini dapat memberi manfaat kepada pembaca.
Baca juga: Kalau buat ni ‘confirm’ ramai berebut! Wanita kongsi resipi ‘kepak ayam pedas manis’