Lelaki Bangladesh disyaki jadi dalang terbesar seludup minyak masak kita

Oleh KIM SYAZIE

Pihak berkuasa percaya seorang lelaki warga Bangladesh menjadi dalang membekalkan minyak masak bersubsidi secara haram di warung dan kedai runcit di sekitar Melaka.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Melaka Norena Jaafar berkata, lelaki warga Bangladesh itu telah ditahan dalam satu serbuan bersama sepasukan pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Melaka menerusi Ops Bersepadu Kita Gempur di Batu Berendam.

Apa yang mengejutkan, hasil pemeriksaan rumah warga asing itu menemui 80 paket minyak masak satu kilogram (kg) yang disembunyikan dalam kedai runcit untuk dijual kepada pekerja warga asing, selain digunakan di warung makan kawasan rumah kongsi berkenaan.

“Kita percaya, suspek yang masuk ke negara ini dengan permit sebagai pekerja pembersihan antara dalang terbesar terlibat dalam ketirisan minyak masak bersubsidi di Melaka sejak dua tahun lalu,” katanya baru-baru ini seperti dilapor media tempatan.

Mengulas lanjut, Norena berkata, suspek Bangladesh berkenaan sebelum ini diburu pihaknya apabila disyaki terlibat dalam penyelewengan minyak masak peket yang menjadikan ladang kelapa sawit sebagai hab pengagihan bekalan melibatkan sekurang-kurangnya empat kawasan tapak binaan.

“Selepas dapat bekalan dari pemborong, dia yang menjadi ejen akan pergi kedai runcit atau peniaga makanan di rumah kongsi tapak bina untuk jual antara lima hingga 10 kotak bersamaan 85 hingga 170 peket.

“Kita juga sedang menyiasat siapakah pemborong yang membekalkan minyak masak kepada warga Bangladesh ini yang mana kita percaya kesalahan ini sudah dilakukan lebih dua tahun,” jelasnya lagi.

Baca juga: “Semua benda suami uruskan, bila dia meninggal, aku terpaksa ‘google’ cara nak kemas rumah…”