Malaysia Dateline

Lelaki dakwa keturunan Nabi, Azhar Idrus kata “setakat mari majlis Maulid Nabi, tak bagi mudarat”

Penceramah selebriti, Ustaz Azhar Idrus meminta orang ramai untuk bersangka baik berhubung isu kehadiran seorang lelaki Maghribi yang mendakwa dirinya merupakan cicit kepada baginda Nabi Muhammad.

Beliau berkata, lelaki terbabit yang difahamkan menggelarkan dirinya sebagai ‘habib’ masuk ke Malaysia secara halal, bahkan dia tidak mengutip derma untuk programnya.

Ustaz Azhar juga berkata, kedatangan individu tersebut tidak mendatangkan kemudaratan kepada umat Islam di negara ini dan sekiranya memudaratkan baharulah pihak berkuasa perlu mengambil tindakan sewajarnya.

“Dia datang majlis Maulid Nabi. Dia ceramah ke dok? Dia ada kutip duit orang dok? Tak dok. Haa doh benda masalah? Dia cop pasport dari Maghribi, masuk cara halal.

“Kita serahkan kepada pihak yang berkuasa yang ada autoriti untuk memastikan adakah dia keturunan nabi atau sebaliknya. Nanti kerajaan akan buat keputusan.

“Kalau kitalah orang pertikai keturunan kita apa perasaan kita. Orang tak kenal kita, orang pertikai keturunan kita. Suka dok? Kalau dia keturunan Nabi Alhamdulillah, kalau bukan pun tak dok masalah,” katanya dalam satu ceramah yang diadakan malam tadi.

Pada masa sama, beliau juga membandingkan kemasukan artis luar negara yang terang-terang merosakkan akidah dan memudaratkan masyarakat.

“Yang kita bimbang tu bawa masuk penyanyi tu banyak yang merosakkan akidah, minda umat Islam. Macam-macam konsert yang membuka aurat, terang-terang fasik, merosakkan.

“Orang tu mari majlis Maulidul Rasul tak ada masalah sikit pun. Kita ajar orang Islam untuk bersangka baik selagi tak ada tanda seseorang yang memudaratkan orang lain. Yang mudarat tu penyanyi dan penari-penari yang dibawa kerajaan masuk ke dalam negara kita.

“Orang Islam datang kamu sakit hati tapi orang yang merosakkan dan datangkan kemungkaran, kamu diam,” tegurnya lagi.

Terdahulu, Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) memaklumkan pihaknya tidak membenarkan ceramah atau program maulidur rasul yang dihadiri lelaki mendakwa dirinya adalah keturunan ke-38 Nabi Muhammad SAW.

Pihak JAIS juga dilaporkan telah menghantar surat kepada pihak pengurusan dewan mengenai arahan larangan atau tidak membenarkan program tersebut. Tambahan, penceramah yang dijangka turut serta dalam program itu tidak mempunyai pentauliahan dari JAIS.

Baca juga: Berani mati, lelaki sengaja baring atas jalan minta dilanggar

Baca juga: ‘Kipas bergoyang, mahu roboh atap bergegar’ – Penduduk cemas rasai gegaran