Pokok mangga adalah salah satu jenis buah-buahan bermusim yang cukup digemari oleh masyarakat Asia Tenggara termasuklah Malaysia.
Tidak hanya enak dimakan begitu sahaja, buah ini juga boleh dinikmati sebagai jus minuman atau dijadikan bahan tambahan dalam masakan seperti pencuci mulut.
Memandangkan harga buah ini semakin mahal, pasti ada yang pernah terfikir untuk menanam sendiri pokok mangga namun tidak mengetahui bagaimanakah caranya.
Untuk menjawab persoalan ini, berikut kami kongsikan tiga petua menanam pokok Mangga yang manis dan tidak berulat berdasarkan pendedahan oleh Nacqrisbackyardgarden.
Sekadar info, Nacqrisbackyardgarden adalah seorang pengguna TikTok yang mempunyai 23,400 pengikut dan sering berkongsi ilmu pertanian melalui akaun miliknya itu.
“Ada tiga perkara yang perlu anda lakukan untuk mendapatkan pokok Mangga yang berbuah sepanjang tahun, tak berulat dan manis,” katanya dalam hantaran tersebut.
1. Buat pangkasan
Pangkasan pada dahan perlu dibuat setahun sekali agar pokok menjadi rendang dan keluar pucuk serta bunga. Biasanya dilakukan pada dahan kedua dari batang utama dan dahan pertama.
2. Baja Buah
Jangan lupa untuk memberikan baja buah pada pokok mangga yang ditanam setiap sebulan sekali. Nacqris menggunakan baja berjenama NOVATEC PREMIUM.
3. Perangkap lalat buah
Untuk mengelakkan hasil tanaman menjadi rosak, jangan lupa untuk pasang perangkap lalat buah. Masa pokok berbunga pula, asapkan dengan menggunakan sarang telur dalam dua ke tiga kali seminggu.
Jangan pula halau serangga seperti kerengga yang merayap pada pokok kerana ia bagus untuk mengelakkan haiwan perosak seperti kumbang dan burung bersarang.
Semoga perkongsian ini dapat memberikan manfaat kepada pembaca khususnya untuk mereka yang mahu mencuba menanam pokok tropika ini.
Baca juga: Baru tahu nanas ada banyak khasiat, ini 4 manfaat selain atasi masalah keradangan