Lelaki dengar suara orang beri salam ketika solat sendirian di R&R, nekad intai cermin tingkap

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki tidak menyangka tindakannya singgah di sebuah hentian Rehat dan Rawat (R&R) ketika memandu sendirian di kawasan Selangor boleh membawa kepada satu kejadian misteri.

Menerusi satu hantaran di platform X, lelaki itu mengakui mengambil keputusan berhenti di kawasan R&R tersebut dengan tujuan menggunakan surau bagi mengerjakan solat fardhu Isyak.

Keadaan mulanya tenang sahaja ketika lelaki berkenaan mengerjakan solat sendirian dalam surau, namun situasi bagaimanapun berubah apabila dia terdengar suara orang memberi salam.

“Aku baru kena kacau. Aku berhenti untuk solat Isyak di sini. Sendirian. Selepas habis solat, aku bagi salam. Tetapi waktu itu, aku dengar orang lain bagi salam juga. Aku pusing, tiada orang.

“Nasib baik dia tak tutup lampu. Sekarang aku berada di dalam kereta, tak boleh memandu (pulang ke rumah),” katanya dalam satu hantaran pada Sabtu, sekitar jam 8.28 malam.

Dalam hantaran seterusnya, lelaki itu membuat andaian bahawa suara misteri yang didengarinya selepas selesai mendirikan solat sendirian mungkin datang daripada jin Islam.

Lelaki terbabit juga mendedahkan bahawa kawasan R&R berkenaan sememangnya popular dengan kisah misteri selepas membuat carian di pelbagai platform media sosial termasuk TikTok.

“R&R ini rupanya popular dengan gangguan hantu. Tetapi yang aku jumpa tadi mungkin jin Islam. Aku memang rasa ada orang ikut solat. Namun ketika aku intai dekat cermin tingkap, tak nampak orang.

“Tetapi aku intai tingkap macam cermin sebab berpantul itu sekali imbas sahaja sebab tengah solat. Sekarang aku sudah sampai rumah. Nak mandi.” Kongsinya dalam hantaran berikutnya pada jam 9.10 malam.

Baca juga: Minta orang kaya tak berebut beli tanah kerajaan, sekali ini respon netizen buat Sanusi