Lelaki didenda lepas rosakkan pagar rumah, mengaku bersalah pukul tunang bekas isteri

Oleh MALAYSIADATELINE

Seorang juruteknik dihadapkan ke Mahkamah Majistret Batu Pahat, Johor atas dua pertuduhan mencederakan tunang kepada bekas isterinya serta merosakkan pagar rumah wanita berkenaan pada Ahad lalu.

Majistret Suhaila Shafi’uddin kemudian menjatuhkan hukuman denda sebanyak RM1,800 hari ini selepas tertuduh berusia 28 tahun itu mengaku bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan.

Difahamkan, pengakuan dibuat oleh tertuduh dikenali sebagai Muhamad Sofi Zainudin itu susulan kedua-dua pertuduhan dikemukakan oleh jurubahasa, lapor Berita Harian.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh yang sudah bercerai itu mulanya menghubungi bekas isterinya bertujuan untuk mengambil anak namun wanita berkenaan malah tidak menjawab panggilan tersebut.

Dalam keadaan marah, tertuduh mengambil keputusan untuk pergi ke rumah bekas isterinya sebelum berlaku pergaduhan mulut antara mereka sehingga membawa kepada tindakan merosakkan pagar.

Pergaduhan tersebut tidak terhenti di situ kerana tunang kepada bekas isteri tertuduh yang turut berada di lokasi kejadian juga menerima tumbukan serta tendangan oleh juruteknik berkenaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Sofi didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pagar rumah bekas isterinya yang berusia 25 tahun di Taman Ros, Ayer Hitam di Batu Pahat pada jam 8.30 malam, 3 November lalu.

Untuk kesalahan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua pula, bapa kepada seorang anak itu didakwa telah mencederakan tunang bekas isterinya yang berusia 22 tahun di dalam kejadian berlaku pada waktu, tarikh serta lokasi sama.

Atas kesalahan tersebut, pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dengan hukuman penjara selama setahun atau denda RM2,000 atau kedua-duanya jika didapati bersalah.

Pendakwaan kes berkenaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Sharifah Natasha Syed Ahmad manakala tertuduh pula diwakili oleh peguamnya iaitu Mohd Razak Shariff.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman denda RM800 bagi pertuduhan pertama dan RM1,000 untuk pertuduhan kedua selain memerintahkannya menjalani hukuman penjara dua bulan jika gagal membuat kedua-dua bayaran.

Baca juga: 10 tahun tunggu zuriat, wanita dihalau suami lepas mengandung, siap lafaz taklik talak kalau tak gugurkan