Lelaki direman tujuh hari, disyaki bunuh isteri lepas gagal pujuk batal tuntutan fasakh

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki berusia 36 tahun dibawa ke Mahkamah Majistret Batu Gajah, Melaka pagi tadi untuk perintah tahanan reman kerana disyaki membunuh isterinya di sebuah hotel, semalam.

Permohonan reman selama tujuh hari bermula hari ini sehingga 27 Jun itu kemudian dibenarkan Majistret, Azlin Zeti Zainal Abidin untuk membantu siasatan pihak polis mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Terdahulu, suspek yang merupakan seorang penganggur itu tampil menyerah diri di balai polis dan mendakwa telah membunuh isterinya di sebuah hotel di Jalan Pejabat Pos, semalam selepas sama-sama menginap di sebuah bilik.

Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Md Noor Aehawan Mohammad memaklumkan pihaknya menemui jasad dengan kesan tikaman dan sebilah pisau di tempat kejadian susulan bertindak di atas laporan.

“Pada 20 Jun lebih kurang pukul 2 petang, seorang lelaki melayu berumur 36 tahun datang ke Balai Polis Batu Gajah dan mengaku telah membunuh isterinya di sebuah hotel di Pekan Batu Gajah, Perak.

“Suspek ingin menyerah kerana dipercayai telah menikam mangsa seorang wanita berusia 32 tahun. Hasil siasatan pihak polis telah menemui susuk badan mangsa dengan kesan tikaman di dalam bilik hotel.

“Sebilah pisau turut dijumpai di tempat kejadian. Pihak forensik IPK (Ibu Pejabat Polis Kontinjen) Perak telah hadir bersama pakar patalogi Hospital Ipoh, Perak dan telah mengesahkan kematian mangsa,” katanya dalam satu kenyataan yang turut dikongsi di laman Facebook.

Hasil semakan polis mendapati mangsa dan suspek datang ke hotel tersebut secara berasingan sebelum menginap dalam bilik hotel yang sama pada 19 Jun iaitu sehari sebelum kejadian berlaku.

Manakala motif pembunuhan pula disyaki berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek berikutan isterinya iaitu mangsa masih ingin meneruskan tuntutan fasakh walaupun telah dipujuk.

“Kes disiasat dibawah seksyen 302 Kanun Keseksaan. Suspek telah ditangkap untuk siasatan lanjut.” Jelas Md Noor Aehawan dalam kenyataan tersebut.

Baca juga: Muat naik hantaran berunsur fitnah, Chef Wan diarah bayar RM150k kepada bekas menantu