Malaysia Dateline

Lelaki dituduh intip di tandas R&R buat laporan polis, dakwa diugut dan dipukul tiga individu

Lelaki yang dituduh mengintip di tandas Rehat dan Rawat (R&R) Juru, Perai, Pulau Pinang telah membuat laporan polis serta mendakwa diugut dan dipukul tiga individu di dalam video yang tular itu.

Kenalan rapat mangsa yang hanya ingin dikenali sebagai Acap Pujangga memberitahu, rakannya kena ‘paw’ dengan individu yang merakam video itu.

Menurutnya, mangsa menjadi trauma disebabkan kena pukul oleh tiga lelaki di belakang tandas dan di belakang lori.

Beliau difahamkan, rakaman video yang tular itu hasil perbuatan seorang pemandu lori.

“Dalam video itu kalau perasan orang itu dah cut video. Ada orang pegang monopod merakam benda dah plan.

“Sekarang, polis dah buka siasatan dan buka kes saman malu dekat tiga orang lelaki yang merakam juga yang menularkan video yang tidak sahih,” ujarnya.

Beliau yang dihubungi Malaysia Dateline hari ini berkata, dakwaan kononnya kerap nampak mangsa di situ adalah tidak benar memandangkan rakannya itu dari Perak dan dalam perjalanan ke utara atas urusan kerja.

“Lelaki itu tak buat benda yang bukan-bukan pun dalam video. Orang yang merakam video sedang mandi dan ada seorang lelaki yang memegang monopod seolah-olah mereka sudah merancang,” katanya lagi.

Menerusi video yang tular sebelum ini, perakam didengar memarahi seorang lelaki dengan rambut berikat dan beruniform.

“Kau nak apa? Kau tu lelaki tau?!” tegasnya dengan nada marah.

Lelaki yang dirakam itu pula berkali-kali memohon maaf dan menegaskan beliau tidak buat apa-apa pun.

“Abang, saya minta maaf. Saya tak buat apa-apa pun,” ucapnya berkali-kali sebelum dihujani makian.

Menceritakan kembali detik-detik insiden itu, Acap berkata, mulanya dua lelaki masuk ke tandas ketika mangsa membasuh tangan di sinki.

Pada masa itu, jelasnya, mangsa terdengar bunyi pintu di buka dan ditutup di sebelah sinki.

Oleh sebab itu, ujarnya, rakan beliau cuba untuk melihat siapa yang sedang bermain pintu bilik mandi itu.

“Tiba-tiba ada seorang lelaki buka pintu lalu terus merakam mangsa. Mangsa terkejut dan untuk mengelak salah faham antara dua pihak, jadi mangsa terus keluar,” katanya.

Walau bagaimanapun, lelaki yang merakam itu terus-menerus bercakap perkara yang tidak benar.

“Selepas habis merakam, mangsa telah diugut oleh tukang rakam dan dua lelaki yang berada di luar pintu tetapi mangsa tidak memberi lalu ditularkan video tersebut,” tambah Acap lagi ketika dihubungi Malaysia Dateline.