Persaingan untuk memecahkan rekod pembelian nasi kandar termahal nampaknya sudah menjadi ‘trend’ dalam kalangan penggemar makanan yang popular di Pulau Pinang itu.
Masing-masing seakan berlumba untuk mencipta rekod baharu sebagai pelanggan di premis yang terletak di Jalan Dato Keramat, George Town itu iaitu Restoran Nasi Kandar Sulaiman (NKS).
Seperti seorang anak muda ini yang sanggup mengeluarkan belanja besar sebanyak RM450 pada Ahad lalu untuk menandingi rekod dicipta oleh pemuda dari Bayan Baru, dua hari sebelumnya.
Walau bagaimanapun, lelaki terbabit telah berjaya mencipta kelainan apabila wang berjumlah RM450 itu bukanlah dikeluarkan buat dirinya sendiri sebaliknya bertujuan untuk membelanja 30 orang pelanggan restoran itu.
Menerusi satu hantaran di laman Facebook, pihak NKS memaklumkan bahawa rekod baharu tercipta apabila pelanggan mereka membelanjakan 30 pinggan nasi kandar kepada pelanggan premis itu kira-kira pukul 9 pagi, Ahad lalu.
“RM450, pecah rekod. Anak muda kita ini belanjakan 30 pinggan nasi kandar kepada pelanggan yang datang ke NKS. Lauk nasi ayam dan sotong mengandung. 30 orang dapat menikmati lauk ini.
“Beliau ini penjual Nasi Maqlubah. Tetapi beliau meniaga ketika ada program jualan sahaja. MasyaAllah, terbaik. Beliau ada hati buat rekod seperti ini dengan belanja 30 orang makan.
“Kita lagi suka tengok orang datang buat rekod seperti ini. Pahala pun dapat, malah pelanggan lain juga dapat makanan. Terbaik,” tulis pengendali akaun Facebook NKS dalam satu hantaran.
Tular di media sosial, rata-rata pengguna memuji tindakan lelaki berkenaan kerana tidak menyeksa diri untuk menghabiskan makanan selain bermurah hati berbelanja buat orang yang tidak dikenali.
Pelanggan yang terpilih untuk menikmati nasi kandar berkenaan turut mengucapkan terima kasih di ruangan komen dan mendoakan agar rezeki pemecah rekod terbabit dilipat gandakan.
“Alhamdulillah rezeki. Saya dan isteri adalah antara 30 orang tersebut. Terima kasih. Semoga Allah memberi rezeki berlipat ganda kepada yang belanja dan juga kepada NKS. Amin,” kongsi pelanggan itu.
“Apabila orang cerdik buat kerja. Tak perlu seksa diri sendiri untuk makan hidangan yang banyak. Beli dan sedekah kepada orang lain. Hati senang, pahala pun dapat.” Kata seorang pengguna.
Terdahulu, seorang pemuda dari Pulau Pinang dikenali sebagai Roszali Mat Esa, 38, mencipta rekod tertinggi di restoran tersebut apabila menikmati nasi kandar dengan harga RM400 selama sejam pada Jumaat lalu.
Pembelian itu mengalahkan rekod seorang pemuda dari Yan, Kedah yang menikmati hidangan yang berharga RM372 di restoran sama pada 31 Ogos lalu dalam tempoh sejam 15 minit.
Baca juga: Pemuda tak nak kalah, pecah rekod ‘order’ nasi kandar paling mahal cecah RM400
@wawanfood Tak cuba maka tak tahu. Rasai sendiri Sambal Garing Mata Biru keluaran kami. Pedas 3 minit di mulut.... #sambalikanbilis #sambalgaringbilis #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilismatabirusabah #ikanbilismatabiru #ikanbilis #sambal ♬ Sunrise - Official Sound Studio