Lelaki ini didakwa pukul warga emas, naik berang ditegur ‘rem’ kereta tengah malam

Oleh WAN SITI AMINAH

Gara-gara ditegur untuk berhenti membuat bising pada waktu tengah malam, seorang pemuda didakwa telah memukul warga emas dipercayai jirannya dengan menggunakan cota.

Kejadian yang dikatakan berlaku di sekitar Taman Rinting, Johor Bahru itu didedahkan oleh anak perempuan kepada warga emas terbabit menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya.

Wanita berkenaan turut memuat naik satu rakaman yang memaparkan situasi cemas berlaku di hadapan rumahnya itu di mana pemuda terbabit dilihat memegang sebatang cota.

Difahamkan, kejadian bermula apabila bapanya bertindak menegur pemuda terbabit agar berhenti membuat bising dengan membunyikan ‘rem’ kenderaan memandangkan waktu sudah tengah malam.

Malangnya teguran itu tidak diterima dengan baik malah lelaki yang dipercayai membunyikan ‘rem’ tersebut naik berang dan menghayun sebatang cota sebelum didakwa memukul bapanya.

“Cerita sebenar. Dia ‘rem-rem’ kereta dekat depan rumah pada pukul 12 lebih malam. Ayah saya keluarlah tegur. Dia mengamuk sambil hayun cota. Dia juga memukul ayah di tangan.

“Dia juga ugut akan datang lagi dengan membawa geng dan alatan tertentu. Tangan juga ayah bengkak. Saya nak dia tahu cara beradab dengan orang tua. Bukannya pukul sesuka hati,” kata wanita itu dalam perkongsian tersebut.

Jelas wanita terbabit, kejadian yang berlaku pada waktu tengah malam itu sudah dilaporkan oleh mangsa iaitu bapanya dan mereka kini sedang menunggu tindakan lanjut dari pihak polis.

Rakaman asal kejadian itu difahamkan sudah diturunkan kerana didapati telah melanggar polisi TikTok namun ia telah dikongsi semula di pelbagai platform lain termasuk laman X (dahulunya dikenali sebagai Twitter).

Susulan penularan rakaman tersebut, tinjauan mendapati rata-rata pengguna berkongsi pendapat bahawa tindakan pemuda terbabit agak berlebihan dan membimbangkan ekoran mangsanya adalah warga emas.

Ramai juga pengguna berharap agar pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas terhadap pelaku sebagai pengajaran supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi.

Baca juga: Pergh mahal betul! Rupanya ini harga kalau nak Salt Bae datang meja, cecah puluh ribu