Jarak umur 20 tahun tidak menjadi penghalang kepada seorang lelaki untuk memilih wanita yang berstatus janda sebagai suri hatinya.
Namun apa mengejutkan adalah, lelaki itu rupanya menikahi wanita yang sudah memiliki anak daripada perkahwinan terdahulu iaitu rakan sepermainannya sendiri.
Mengundang perbincangan hangat, kisah pasangan dari negara seberang itu mula menjadi sorotan selepas rakaman majlis pernikahan mereka tular di platform TikTok.
Rakaman berdurasi 13 saat itu mulanya memaparkan pasangan yang tampil berseri dengan pakaian pengantin sedang bersimpuh di atas sejadah di halaman rumah.
Majlis yang diadakan dengan cukup sederhana itu kemudian diteruskan dengan lafaz ijab kabul dari lelaki asal Lombok, wilayah Nusa Tenggara Barat, Indonesia tersebut.
“Aku terima nikahnya Husnawati dengan mas kawin sebanyak telu (tiga) juta rupiah (RM903.76),” lafaz lelaki itu dengan tenang di samping isterinya yang tersipu malu.
Suasana majlis itu terus bertukar menjadi meriah dengan sahutan ‘sah’ dari tetamu yang hadir dipercayai daripada kalangan saudara terdekat dan jiran tetangga pengantin.
Walau bagaimanapun, pemilik akaun TikTok yang bekerja sebagai jurufoto perkahwinan itu tidak mendedahkan umur sebenar kedua-dua pengantin berkenaan.
Tinjauan kemudian mendapati perkongsian tersebut dibanjiri dengan pelbagai komen yang positif dari rata-rata pengguna yang kagum akan pernikahan berbeza usia itu.
Berhubung jarak umur mereka yang begitu jauh, ada juga individu membuat tekaan bahawa pengantin lelaki itu mengidamkan wanita bersifat ‘keibuan’ sebagai isteri.
“(Pengantin lelaki mesti) mencari wanita yang mempunyai sifat-sifat keibuan,” kata seorang pengguna membuat tekaan mengenai ciri-ciri idaman pengantin lelaki.
“Inilah yang dinamakan ‘bapaku ialah sahabatku’,” seloroh pengguna lain yang cuba memeriahkan suasana dengan jenakanya.