Malaysia Dateline

Lelaki lebih ramai jadi mangsa penipuan urus niaga dalam talian

Statistik Polis Diraja Malaysia (PDRM) sepanjang lima tahun lalu sejak 2017 mendapati lelaki lebih ramai menjadi mangsa penipuan pembelian dalam talian berbanding wanita.

Timbalan Menteri Dalam Negeri II, Datuk Jonathan Yasin berkata bagi tempoh hingga Oktober lalu, seramai 9,993 daripada 17,520 mangsa yang tertipu dengan pembelian dalam talian adalah lelaki.

“Seramai 7,527 mangsa pula adalah perempuan, semua mangsa yang terlibat berusia antara 21 dan 30 tahun,” dipetik Bernama.

Beliau berkata demikian ketika menjawab usul Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) mengenai peningkatan jumlah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa penipuan (scam) di Kamar Khas Dewan Rakyat hari ini.

Jonathan berkata, bagi kes penipuan pinjaman tidak wujud, dalam tempoh yang sama seramai 14,884 mangsa terbabit dengan 8,264 mangsa adalah lelaki manakala 6,620 adalah wanita.

Menurutnya, bagi kes itu, kajian mendapati mangsa terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan latar belakang pendidikan.

Jelasnya, sepanjang 2017 sehingga Oktober tahun ini, sebanyak 75,086 kes penipuan dilapor membabitkan pelbagai modus operandi (MO).

“Antaranya seperti Belian Dalam Talian, Pinjaman Tidak Wujud, Pelaburan, African Scam, Macau Scam dan Business E-mail Compromise (BEC).

“Sebanyak 34,281 tangkapan dibuat dengan 19,061 kes dituduh di mahkamah dengan anggaran kerugian melebihi RM2.4 bilion,” katanya.

Jonathan berkata, antara faktor mangsa tertipu ialah penyamaran panggilan dari pihak berkuasa, terpedaya dengan tawaran atau peluang pelaburan dan ketidakpekaan kepada isu-isu semasa.

Mangsa juga tidak melakukan semakan terhadap panggilan yang diterima selain scammer menggunakan pelbagai teknik melalui teknologi tanpa sempadan untuk memperdaya mangsa dengan cara yang amat menyakinkan, katanya.