Lelaki mengadu tak cukup RM1k duit belanja ayah bagi, rupanya habis dekat teman wanita

Oleh MAISARAH AISYA

Memanglah tanggungjawab ibu bapa untuk memberi anak duit bagi menyenangkan mereka ketika masih belajar.

Namun tidak perlu mengambil kesempatan dengan berbelanja buat teman wanita yang belum tentu lagi jodoh anda.

Seorang pengguna media sosial mengadu bagaimana wang belanja sebanyak RM1,000 sebulan diberikan bapanya tidak mencukupi.

Rupanya wang tersebut bukan habis untuk pembelajaran tapi untuk bersuka ria bersama teman wanita.

“Saya dan teman wanita, dua-dua masih belajar. Masing-masing hidup guna duit belanja mak ayah je.

“Cuma untungnya saya dapat lebih daripada dia, iaitu kira-kira RM1,000 sebulan.

“Tetapi setiap kali saya dapat duit, saya mesti memberi 80 peratus kepada dia,” ujar lelaki tersebut dalam hantaran di X.

Biasalah kalau sudah biasa diberi kesenangan, pasti satu masa akan melampaui batas, teman wanita lelaki tersebut dikatakan bermasam muka apabila duit belanjanya habis.

Seolah-olah dia tidak menyedari bahawa kekurangan wang lelaki tersebut adalah disebabkan dirinya.

“Baru-baru ini, saya dapat duit belanja pada 2 haribulan. Selepas 3 haribulan, hampir RM700 daripada duit saya habis untuk dia.

“Apabila saya tidak mampu untuk belanja dia, dia membuat muka kesian.

“Sebabnya, duit belanja saya lebih banyak daripada dia, hingga saya sentiasa rasa bersalah kerana tidak dapat memberi wang belanja kepadanya,” tambahnya.

Tambah lelaki tersebut dia juga ada hobi tersendiri jadi dia tidak mahu habiskan semua wang kepada teman wanita sahaja.

“Saya juga ingin bersosial dengan kawan-kawan, tetapi setiap kali mereka ajak keluar, alasan saya selalu sama, duit belanja tak bertahan lebih daripada seminggu,” katanya.

Rata-rata warganet menasihati lelaki tersebut untuk putus sahaja kerana teman wanitaya itu dilihat menggunakan dia untuk kesenangan sahaja.

Kedua-dua mereka seharusnya lebih fokus dengan pelajaran dan bukan semata-mata hidup untuk bercinta.

Baca juga: “Nampak tangga gaji aku tinggi sampai susah dapat bantuan, tapi orang tak tahu duit habis bayar hutang suami”