Seorang lelaki merasa sangat menyesal selepas membuat keputusan untuk membeli sehelai baju di sebuah kedai ‘bundle’ atau butik pakaian terpakai.
Mana tidaknya, pemuda berkenaan langsung tidak perasan bahawa baju kemeja-T berwarna hitam yang dibelinya itu rupa-rupanya mempunyai logo jenama arak.
Lebih memburukkan keadaan, baju yang mempunyai logo jenama arak itu turut dipakai oleh pemuda berkenaan ketika dipilih untuk mengimamkan solat Maghrib.
Berkongsi pengalamannya di laman TikTok, lelaki dikenali sebagai Fong itu mulanya mencari sehelai baju tanpa lengan berwarna hitam di sebuah pusat beli belah.
Selepas gagal menemuinya, Fong memutuskan untuk pergi ke butik pakaian bundle berdekatan dan berjaya menjumpai sehelai kemeja-T berwarna hitam di kedai itu.
“Saya pakai baju tanpa lengan masa pergi konsert itu. Sebelum itu saya masuk ke pusat beli belah untuk mencari baju tanpa lengan berwarna hitam tapi tak ada.
“Akhirnya saya pergi ke butik pakaian bundle membeli sehelai baju kemeja-T hitam dan menggunting lengan baju tersebut,” ceritanya menerusi satu hantaran video.
Fong kemudian memakai baju tersebut ketika menghadiri konsert Hausboom Music 2023 pada minggu lalu bahkan turut menjadi imam ketika mengerjakan solat.
Namun selepas beberapa hari berlalu, Fong baru menyedari bahawa baju dibelinya itu mempunyai tulisan yang memaparkan logo jenama dari minuman arak.
“Saya mengenakan baju tersebut bersama kemeja berlengan panjang panjang untuk pergi mengerjakan solat. Alhamdulillah, jadilah imam solat Maghrib.
“Bila tengok semula baju itu, saya nampak ada tulisan jenama air arak. Saya baru tahu baju itu ada logo tersebut. Sudahlah saya jadi imam, habislah.
“Saya pun baru perasan tadi. Masa dekat bundle tu saya tak periksa. Nampak baju hitam terus beli. Memang silap saya sebab tak periksa dulu.” Jelas Fong.
Berkongsi video itu untuk memberi amaran kepada orang lain, Fong bagaimanapun mengakui kesilapannya kerana tidak memeriksa baju tersebut sebelum membelinya.