Lelaki menyesal tak bawa kad pengenalan keluar rumah, ‘merasa’ duduk lokap 4 hari

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang pemuda berjaya mencuri perhatian ramai selepas bercerita pengalamannya ditahan di lokap polis gara-gara tertinggal kad pengenalan atau IC di rumah.

Menerusi satu hantaran di akaun TikTok miliknya, lelaki dikenali sebagai Jokercho itu memberitahu kejadian terbabit berlaku sewaktu umurnya baru mencecah 16 tahun.

Jokercho yang ketika itu berkunjung ke sebuah pusat beli-belah di Klang, Selangor ditangkap oleh pihak berkuasa berikutan tidak membawa kad pengenalan bersama.

“Hari ini aku nak berkongsi pengalaman masuk lokap selama empat hari kerana tidak membawa kad pengenalan. Ketika itu umur aku 16 tahun dan IC pula hilang.

“Aku ada membuat permohonan gantian kad di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Mereka bagi IC sementara iaitu sekeping kertas. Tetapi waktu itu tengah ligat. Selalu nak berjalan.

“Nak bawa IC tetapi takut. Sebab apabila kertas itu disimpan dalam poket, semakin ronyok. Jadinya aku simpan sahajalah dekat rumah,” kongsi pemuda terbabit dalam hantaran itu.

Malang tidak berbau, sekumpulan anggota polis dipercayai sedang menahan warga asing turut menahan Jokercho ketika lelaki terbabit tiba di pusat beli belah tersebut.

Pihak polis kemudian melakukan pemeriksaan sebelum mendapati pemuda terbabit langsung tidak mempunyai sebarang kad pengenalan diri ketika kejadian itu berlaku.

Tangan milik Jokercho yang ketika itu berusia 16 tahun digari bersama tahanan lain termasuk warga asing sebelum dibawa ke sebuah balai polis untuk tindakan lanjut.

“Ada polis minta IC, masa itu pula aku tak bawa. Tak banyak cerita, aku kena gari. Kawan aku lepas sebab dia bawa IC. Aku siap pesan suruh dia beritahu bapa aku.

“Naiklah trak ramai-ramai pergi balai polis. Masuk tiba-tiba ada orang kenal, orang kampung dekat situ. Jadi dia jaga aku dalam itu selama empat hari,” ulasnya lagi.

Selepas beberapa hari ditahan di lokap, Jokercho dijatuhkan pula dengan hukuman penjara selama sehari oleh hakim selepas dihadap ke mahkamah untuk dibicarakan.

Tular di media sosial, perkongsian pemuda itu membuka mata orang ramai mengenai kepentingan membawa kad pengenalan atau MyKad setiap kali keluar dari rumah.

Pemuda itu turut mengingatkan bahawa kegagalan menunjukkan kad pengenalan apabila disoal pihak berkuasa boleh dikenakan denda RM2,000 atau penjara sehari seperti dialaminya.

“Hakim tanya, ada apa-apa rayuan? Kita budak masa itu. Cakap saya janji tak buat lagi tuan hakim, selepas ini pergi ke mana-mana bawa IC. Dia ketuk tukul, cakap sehari penjara.

“Nasib orang sebelah cakap jangan risau, sehari penjara duduk di dalam mahkamah sahaja. Nanti pukul 4 balik. Duduk situ pun menunggu.” Kenangnya.

Baca juga: “Aku ni RM1k gaji habis kat diri sendiri setiap bulan, bila suami suruh berhenti kerja, aku…”