Lelaki Palestin maut ditembak tentera Israel di Gaza

Lelaki Palestin maut ditembak tentera Israel di Gaza

Seorang lelaki Palestin meninggal dunia akibat kecederaan yang dialami selepas ditembak tentera Israel sewaktu menyertai tunjuk perasaan dekat sempadan timur Semenanjung Gaza, lapor Agensi Berita Anadolu, memetik pegawai Kementerian Kesihatan.

Anwar Mohamed Qadeih, 33, meninggal dunia selepas terkena tembakan di leher beberapa minggu lalu, kata jurucakap, Ashraf al-Qidra dalam satu kenyataan.

Sejak Mac lalu, lebih 250 penduduk Palestin terbunuh dan ribuan lagi cedera akibat ditembak tentera Israel ketika menyertai bantahan berhampiran zon pemisah, sempadan Gaza-Israel.

Penunjuk perasaan menuntut hak untuk kembali semula ke rumah dan kampung mereka di kawasan bersejarah Palestin, selepas mereka diusir dari situ pada 1948 dalam usaha mendirikan negara baharu Israel.

Mereka turut menuntut Israel menamatkan sekatan 12 tahun ke atas Semenanjung Gaza mengakibatkan lebih dua juta penduduk di situ menderita terputus banyak keperluan asas.

— BERNAMA