Perkongsian seorang lelaki mengenai kisah rakannya yang berkelulusan tinggi tetapi hanya bekerja di sebuah kedai ‘photostat’ menarik perhatian ramai.
Kongsi Mohd Yazid Ismail, dia mempunyai rakan berkelulusan PhD jurutera, namun sejak 2018 sehingga kini, rakannya masih tidak menerima sebarang tawaran pekerjaan.
Dia selama enam tahun hanya bekerja di kedai ‘photostat’ dengan pendapatan tidak sampai RM3,000.
Rakannya itu juga pernah menghadiri temuduga, namun tiada rezeki untuk pekerjaan tersebut.
“Kawan saya ni ada PhD dalam bidang engineering, grad tahun 2018. Tapi selepas tamat PhD sampai sekarang dia hanya bekerja di kedai fotostat. Gaji tak sampai RM3,000.
“Kerja dengan orang. Bukan bisnes dia sendiri. Dah 6 tahun dia di kedai fotostat.
“Katanya tak dapat panggilan untuk bekerja tempat lain yang sesuai dengan kelayakan PhDnya. Dia dah pergi interview.
“Saya baru tahu nasib dia. Ingat ke dia bekerja sebagai pensyarah. Rasa kesian sangat,” kongsinya di Facebook.
Menggambarkan rakannya sebagai seorang pendiam yang berhati-hati dalam bercakap, Mohd Yazid berkata dia bagaimanapun terkejut mengetahui rakannya tidak pernah mempunyai sebarang pinjaman peribadi.
Ini termasuklah pinjaman perumahan dan pinjaman kereta yang memberi indikasi bahawa kehidupan rakannya itu sebenarnya jauh lebih baik.
“Kami berjumpa minggu ni sebab dia nak kemaskini nombor telefon dalam sistem Public Mutual. Dulu dia buat pelaburan tunai, sekarang duit tu dah naik sekali ganda. Dia nak tambah pelaburan.
“Data kewangan juga kena kemaskini dalam sistem, dia tanda semua NO. Tak ada hutang rumah, hutang kereta, pinjaman peribadi semua tak ada.
“Pada awalnya rasa kesian kat dia. Tapi lepas tu saya rasa kesian kat diri sendiri pula. Baik dia tak ada hutang langsung. Hidup tenang tanpa hutang,” ujarnya di penutup cerita.
Baca juga: Betul-betul unik! Lelaki OKU nekad ubah suai ‘bonet’ kereta untuk jual burger