Seorang lelaki meluahkan rasa kecewa selepas kereta terpakai jenis BMW 530E yang baru dibelinya mengalami kerosakan dalam tempoh 24 jam digunakan.
L. Francis Xavier mendakwa dia membeli kereta tersebut daripada seorang penjual kenderaan terpakai di Kuala Lumpur pada 19 Februari lalu.
Selepas menyedari kereta yang dibelinya pada harga RM120,000 itu mempunyai kerosakan, dia telah menghantar semula kepada penjual tersebut.
Penjual itu berjanji akan segera menghantar ke pusat servis jenama kenderaan terbabit namun dakwanya sehingga kini selepas lebih sebulan kereta itu masih belum dibaiki.
“Mereka (penjual serta pemilik kereta terpakai) mendakwa kereta tersebut masih mempunyai waranti selain berjanji akan baikinya di pusat service jenama kenderaan.
“Namun kini sudah lebih sebulan kereta itu masih belum dipulangkan kepada saya dan lebih teruk ia masih tidak dibaiki.
“Penjual tersebut pula memberi pelbagai alasan kononya pusat servis jenama kenderaan itu belum memberi respons dan semakan saya dengan pusat tersebut pula mereka memberi alasan yang bercanggah dengan penjual tersebut,” katanya kepada media semalam memetik Malaysia Gazette.
Jelasnya, kereta BMW 530E itu ditawarkan pada harga RM120,000 kemudian dia tukar beli (trade-in) kereta lama miliknya pada harga RM40,000 sebelum menambah baki berjumlah RM80,000.
Dia bagaimanapun mengalami kerugian dalam perniagaan sewa kereta yang dilakukan susulan kereta tersebut masih gagal dibaiki pulih seperti dijanjikan pemilik kedai kereta terpakai tersebut.
“Sebagai pembeli saya rasa ditipu oleh pemilik dan penjual kereta terpakai itu dan berharap ada pihak tampil bantu agar saya mendapat pembelaan sebagai pengguna,” katanya.
Baca juga: Jarang dah tengok 7 kuih raya legend ini! Orang-orang dulu mesti teringat