Malaysia Dateline

Lelaki rempuh jemaah masjid di London disabitkan kesalahan membunuh

Lelaki yang merempuh dengan van sekumpulan jemaah masjid selepas solat Tarawikh pada 19 Jun tahun lalu disabitkan kesalahan membunuh oleh mahkamah, lapor Aljazeera.

Seorang terbunuh dan 10 lagi cedera apabila van dipandu Darren Osborne melanggar pejalan kaki yang baru keluar daripada sebuah masjid di Finsbury Park, utara London.

Dalam kejadian itu, lapan orang telah dibawa ke tiga hospital berasingan dan dua orang dirawat di tempat kejadian kerana cedera ringan.

Sebelum kejadian, Osborne digambarkan sebagai ‘gila’ dan dihalau keluar dari sebuah pub kerana mengecam umat Islam serta mengancam ‘mahu melakukan sesuatu’.

Menurut Daily Mail, Osborne, 47, yang mempunyai empat anak menyewa van dengan harga £80 sehari di South Wales sebelum melakukan rempuhan itu.

Dia memandu van itu menaiki laluan pejalan kaki sebelum merempuh sekumpulan jemaah Islam yang sedang keluar dari masjid selepas Tarawih.

Dalam kejadian itu, Makram Ali, 52, meninggal dunia di depan anak perempuannya berusia 26 tahun. Seorang remaja lelaki 17 tahun koma akibat rempuhan van itu.

Polis mengesahkan 11 orang cedera, seorang kritikal dan seorang meninggal dunia akibat kejadian itu.

Menurut saksi, Osborne menjerit “saya akan bunuh orang Islam, saya jalankan tugas saya” ketika dia diberkas orang ramai.

Ibunya, Christine Osborne, mengutuk perbuatan anaknya itu manakala adik perempuan beliau memohon maaf atas perbuatan abangnya.

Pengunjung sebuah pub di Hollybush, Pentwyn, Cardiff, berkata Osborne amat mabuk pada malam kejadian.

“Dia bagaikan hilang akal, menyumpah orang Islam dan berkata akan melakukan ‘kerosakan’,” katanya.

Osborne, mekanik yang menganggur dikatakan mahu membalas dendam terhadap kejadian rempuhan van dan tikaman oleh tiga lelaki Islam di Jambatan London.

Dia yang tinggal dalam khemah selama dua minggu selepas berpisah dengan isterinya, Sarah Andrews, 42, dikatakan tertekan dengan kehidupannya.