Malaysia Dateline

Lelaki rentung, 4 rumah terbakar di Kampung Bharu

Seorang lelaki berusia 54 tahun ditemui rentung selepas empat rumah terbakar di Flat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Kampung Baru, di ibu negara, pagi ini.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini memaklumkan kebakaran berlaku di alamat Blok B-3-10C flat berkenaan dekat Jalan Tun Razak.

Operasi pemadaman melibatkan seramai 20 anggota menaiki tiga jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Jalan Tun Razak, Titiwangsa, Keramat serta Hang Tuah selepas menerima panggilan pada jam 6.39 pagi.

“Kebakaran membabitkan empat rumah dengan tiga daripadanya musnah 30 peratus, manakala satu terbakar 70 peratus.

“Kebakaran rumah terbabit berjaya dikawal jam 7.02 pagi. Punca kejadian itu masih dalam siasatan,” kata Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur dalam kenyataan hari ini.