Lelaki sanggup keluar belanja RM1.7 juta, beli lebih 12,000 koleksi patung Barbie

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang lelaki berjaya menyita perhatian ramai selepas sanggup mengeluarkan belanja jutaan ringgit untuk membeli koleksi patung Barbie.

Menjadi kegilaan kanak-kanak perempuan, rupa-rupanya anak patung Barbie turut mendapat tempat di hati pemuda yang dikenali sebagai Jeffrey itu.

Mempunyai minat yang unik, Jeffrey memaklumkan bahawa dirinya mula mengumpul koleksi anak patung berkenaan semenjak tahun 1984.

Hampir 39 tahun berlalu, pemuda berkenaan kini sudah memiliki lebih 12,000 anak patung daripada pelbagai jenis model dan juga siri eksklusif.

Difahamkan,kesemua koleksi anak patung Barbie yang dimiliki oleh lelaki asal Singapura itu dianggarkan bernilai lebih S$500,000 atau sekitar RM1.69 juta.

Tular di media sosial, perkara itu dikongsikan sendiri oleh Jeffrey menerusi satu hantaran video di akaun TikTok miliknya, @jeffrey.woodmachine.

Menerusi rakaman tersebut, Jeffrey sempat membuat ‘house tour’ ke sebuah bilik yang menyimpan sebahagian daripada koleksi yang dimilikinya.

“Kali terakhir saya kira ialah pada tahun 2019. Setakat ini saya sudah memiliki lebih 12,000 (koleksi anak patung). Saya mula mengumpul Barbie pada tahun 1984.

“Ketika itu saya mendapat Barbie pertama saya. Namun patung pertama itu sebenarnya kepunyaan kakak saya, tetapi saya ambil,” seloroh lelaki itu

‘Kasih sayang’ Jeffrey terhadap Barbie jelas terpancar apabila anak patung berkenaan dijaga dengan rapi dan diletakkan di dalam almari kaca.

Antara koleksi eksklusif yang dimiliki oleh pemuda berkenaan ialah anak patung Barbie siri Star Wars, Dior dan juga Ralph Lauren.

Baca juga: Cik B buat kejutan pakai tudung, sekali reaksi Datuk Vida pula tak disangka sampai jadi perhatian netizen