Seorang pelanggan berjaya menyita perhatian baru-baru ini selepas mendakwa dikenakan caj tambahan sebanyak RM10.60 untuk 10 paket cili sos.
Lelaki tersebut bertindak mengecam tindakan restoran makanan segera itu kerana mengenakan caj tambahan ketika harga barang keperluan sedang meningkat.
Menerusi hantaran yang dikongsi di laman Facebook itu, lelaki berkenaan turut memuat naik resit sebagai bukti dikenakan caj sebanyak RM1 bagi setiap satu paket sos.
“Hidup makin keras! Nak minta sos lebih di McD pun kena caj. 10 paket sos cili untuk RM10.60. Tahniah McDonald’s Ayer Keroh kerana mengambil langkah proaktif selaras kenaikan harga beras dunia,” dakwanya.
Susulan tularnya isu tersebut, McDonald’s Malaysia segera menjalankan siasatan dalaman termasuk menyemak semula rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Hasil siasatan mendapati pelanggan tersebut berkeras mahu membayar 10 paket sos cili tambahan dan menggesa kakitangan restoran untuk mengeluarkan resit.
Kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada kesilapan pekerja restoran yang tidak sengaja telah memberi jumlah sos cili tidak mencukupi kepada pelanggan itu.
Jelas McDonald’s, pekerja bertugas kemudian segera menyediakan paket sos cili tambahan percuma untuk pelanggan yang sedang berang itu namun ia tidak meredakan keadaan.
“Bagaimanapun, pada ketika itu, pelanggan itu menjadi sangat marah dan agresif secara lisan terhadap kakitangan kami.
“Walaupun kakitangan kami cuba menjelaskan bahawa sos cili disediakan secara percuma, pelanggan itu dengan marah berkeras untuk dikenakan bayaran untuk 10 paket itu.
“Pelanggan itu bukan sahaja mempamerkan keagresifan terhadap kakitangan kami tetapi juga menyiarkan maklumat tidak tepat mengenai kejadian itu di media sosial,” katanya.
McDonald’s turut membuat laporan polis berhubung kejadian yang berlaku pada 22 Sept di cawangan pandu lalu restoran berkenaan di Taman Buaya, Melaka.
Hal ini bertujuan bagi memastikan keselamatan kakitangan terlibat setelah syarikat tersebut mengambil kira tingkah laku agresif yang ditonjolkan oleh pelanggan itu.
“McDonald’s Malaysia memandang tinggi kakitangan kami sebagai barisan hadapan yang secara konsisten berusaha memberikan perkhidmatan kepada rakyat Malaysia.” Tegasnya.
Menurut kenyataan yang disiarkan di laman Facebook itu, McDonald’s turut memberi jaminan bahawa ia menawarkan sos cili kepada semua pelanggan secara percuma.