Siapa sangka, seorang lelaki sanggup menikam rakannya hingga maut hanya kerana pertengkaran yang berpunca daripada teka-teki ‘ayam atau telur lahir dahulu’.
Bukan cerita rekaan, kejadian itu baru sahaja berlaku pada Rabu lalu malah suspek juga sudah ditangkap selepas menyerahkan dirinya ke balai polis di hari yang sama.
Menurut saksi yang turut berada di lokasi kejadian, mangsa pada awalnya datang ke sebuah kediaman milik rakannya yang lain dengan tujuan untuk membayar hutang.
Suspek yang juga berada di situ kemudian mengajak mangsa untuk minum minuman keras bersamanya sebelum bertindak memberikan teka-teki dalam keadaan mabuk.
Berpunca daripada teka-teki berkenaan, mereka berdua kemudian berperang ‘mulut’ sebelum suspek mengambil sebilah pisau badik dan menikam mangsa berulang-kali.
Memetik laporan Detik.com, kejadian mencemaskan itu berlaku di Jalan Poros Raha-Lakapera Desa Labasa, daerah Tongkuno Selatan, Muna, Sulawesi Selatan, Indonesia.
Kejadian disahkan oleh Ketua Polis Daerah Muna, AKP La Ode Arsangka yang turut memaklumkan bahawa insiden berdarah itu berlaku pada 5 petang waktu tempatan.
“Mangsa mulanya datang ke rumah salah seorang saksi untuk membayar hutang. Suspek kemudian mengajak mangsa minum (minuman keras). Ketika itulah suspek memberikan teka-teki kepada mangsa.
“Suspek mengatakan ‘apa yang lahir dahulu, ayam atau telur’. Selepas itu, mereka berdua mula berdebat,” kata Arsangka yang menjelaskan mangsa beransur pulang ke rumah ketika pertengkaran berlaku.
Walau bagaimanapun, suspek yang masih belum berpuas hati bertindak pulang ke rumahnya sendiri dan mengambil sebilah pisau badik lalu berlari mengejar mangsa.
Selepas menikam rakannya, suspek mengambil keputusan untuk menyerahkan diri ke balai polis sebelum mangsa dibawa ke hospital namun tidak dapat diselamatkan.
“Tiba-tiba suspek datang semula ke lokasi kejadian dengan membawa sebilah badik dan mengejar mangsa. Setelah menemui mangsa, suspek menikamnya berkali-kali.
“Suspek kemudian membawa badik berkenaan dan menyerahkan diri ke Balai Polis Tongkuno. Mengenai itu (teka-teki ayam dan telur) masih di dalam siasatan.” Ujarnya.
Baca juga: Ramai buat ‘konten’ seram di rumah terbiar, pemilik buat laporan polis, mengadu susah jual rumah