Malaysia Dateline

Lelaki sokong Isreal ditahan reman kerana positif dadah

Seorang lelaki yang menyatakan sokongan secara terbuka terhadap keganasan Zionis Israel didapati positif dadah morfin.

Beliau, 31, yang juga merupakan seorang penjawat awam telah dipanggil ke Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Melaka Tengah untuk direkodkan keterangan selepas menerima laporan berhubung rakaman video yang dimuatnaik suspek di aplikasi Tik Tok.

Lelaki berkenaan secara terang-terangan menyatakan sokongan terhadap Israel sekali gus menimbulkan reaksi negatif masyarakat.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Afzanizar Ahmad berkata ujian saringan air kencing yang dijalankan ke atas suspek mendapati beliau positif dadah.

“Suspek ditahan untuk siasatan berasingan di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan ditahan reman selama dua hari bermula Rabu,” katanya dalam satu kenyataan.

Katanya, pihak polis turut merampas sebuah telefon bimbit daripada suspek yang dipercayai digunakan ketika memuat naik video tersebut di aplikasi TikTok.

“Siasatan awal yang dijalankan suspek disyaki memuatnaik video itu ketika berada di bawah pengaruh dadah.

Kes disiasat di bawah Seksyen 505(c) Kanun Keseksaan, dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia Malaysia 1988,” katanya.

Baru-baru ini tular rakaman Tiktok berdurasi 59 saat oleh individu itu menggunakan nama @Pahlawan90 yang menyatakan sokongan kepada Israel sehingga menimbulkan kemarahan orang ramai.

Sambil memandu kereta, dia mengakui suka dengan peperangan yang dilakukan Israel terhadap penduduk di wilayah Palestin.