Lelaki sunting tulisan BM dari papan tanda KL Sentral, fitnah PM ‘bunuh’ bangsa Melayu

Oleh WAN SITI AMINAH

Seorang individu sanggup menyunting Bahasa Melayu daripada papan tanda di Stesen Sentral Kuala Lumpur (KL Sentral) dipercayai cuba menyebar fitnah.

Berniat tidak baik, individu itu mulanya membuang bahasa Melayu dari papan tanda sebelum memuat naik gambar yang telah disunting di akaun Facebook miliknya.

Seolah-olah mahu mencetus ketegangan antara kaum, individu itu seakan memberi bayangan kononnya hanya tulisan berbahasa Cina tertera di papan tanda tersebut.

Perkara ini dapat dilihat menerusi kapsyen gambar di mana individu itu mendakwa kewujudan papan tanda tersebut adalah cubaan ‘membunuh’ jiwa bangsa Melayu.

“Bahasa jiwa bangsa. Jika nak bunuh bangsa, bunuhlah bahasanya,” tulis individu itu tanpa keterangan lanjut hingga boleh menimbulkan salah faham dari orang ramai.

Menyedari hal itu, seorang pengguna Facebook bernama Adrian Lim tampil ‘menyekolahkan’ individu terbabit dan menerangkan perkara sebenar di balik papan tanda tersebut.

Rupa-rupanya, teks dipaparkan di papan tanda arah tersebut bukanlah bahasa Cina sebaliknya sistem tulisan huruf Jepun yang memiliki nilai tersendiri buat KL Sentral.

“Yang pertama, itu tulisan Jepun. Bukan bahasa Cina. Kedua, teks ‘KLIA Ekspres’ dan ‘KLIA Transit’ (Bahasa Melayu) telah dipadam oleh pemilik akaun Bohari bin Ibrahim.

“Perhatikan ruang kosong atas teks Jepun di baris kedua dan ketiga. Baris pertama ada tulisan ‘platform’. Takkan baris kedua dan ketiga dibiar kosong, tak selari pula tu.

“Teks Jepun sebenarnya diletak sebagai tanda penghargaan kepada arkitek yang mereka bentuk bangunan KL Sentral. Namanya adalah Dr Kisho Kurokawa,” jelasnya.

Menurut pemilik nama penuh Adrian Lim Chee En itu, jika dakwaan Bohari benar,  maka pembunuhan bahasa ini tidak terjadi di bawah pemerintahan Anwar Ibrahim.

Sebaliknya, ia berlaku di bawah pimpinan Perdana Menteri (PM) terdahulu yang mentadbir negara ketika KL Sentral mula beroperasi iaitu pada sekitar tahun 2001.

“Kalau ya pun PM nak bunuh bahasa, pembunuhan bangsa ini dibuat pada tahun 2001 iaitu ketika KL Sentral dibuka. PM pada ketika itu merupakan Penasihat SG4.

“(Beliau adalah pemimpin) yang dijulang oleh walaun sekarang. Nama dia Mahathir.” Ulas Adrian yang memiliki seramai 26,000 pengikut di akaun Facebook miliknya itu.

SG4 membawa makna ‘State-Government 4’ yang terdiri dari empat kerajaan negeri ditadbir oleh parti Pas di mana Tun Dr Mahatir adalah penasihat tidak rasminya.

Tinjauan mendapati, akaun yang menyebarkan gambar suntingan ini menggunakan nama dan foto profil milik Bohari Ibrahim iaitu pelakon tambahan terkenal di Malaysia.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dipastikan sama ada akaun tersebut betul milik Bohari atau hanya identitinya sahaja yang dicuri oleh pihak tidak bertanggungjawab.

Baca juga: “Netizen siap perli saya bercinta dengan bunian” – Azri Iskandar serik bercakap pasal teman wanita