Lelaki terkejut dapat nasi lemak kosong, rupanya sambal, telur dan ikan bilis dijual asing

Oleh WAN SITI AMINAH

Baru-baru ini tular satu rakaman memaparkan pelanggan sedang menikmati hidangan sarapan pagi termasuk nasi lemak dan bihun goreng selepas membelinya dari sebuah kedai serbaneka.

Namun apa yang mencuri perhatian orang ramai adalah satu hidangan dilabelkan sebagai ‘nasi lemak kosong’ dinikmati oleh salah seorang pelanggan dalam rakaman tersebut.

Mana tidaknya, makanan yang berharga RM2 berkenaan sememangnya dijual di premis tersebut secara ‘kosong’ tanpa kehadiran sambal mahupun ikan bilis sebagai pelengkap hidangan.

Sekiranya pelanggan mahu menikmati nasi lemak seperti kebiasaannya, mereka perlu membuat pembelian sambal, ikan bilis serta telur secara berasingan ataupun ‘add-on’ dengan harga ditetapkan.

Menerusi satu hantaran di platform TikTok, perakam video menunjukkan kadar caj tambahan yang perlu dibayar pelanggan sekiranya mahu menikmati hidangan tersebut secara lengkap.

Dalam rakaman itu, dapat dilihat paket kecil berisi ikan bilis dan kacang dijual dengan harga RM1 yang boleh dibeli pelanggan selain sebiji telur (RM2), sambal ayam (RM2), sambal sotong (RM4) dan sambal udang (RM5).

@nizambest1

Replying to @fahmizr40 dari nasi lemak kosong nak bagi lengkap byk jugak nak kena tambah😅#nasilemakkosong

♬ original sound – NizamBest|Kacak – NizamBest|Kacak

Perkongsian itu telah menimbulkan perbincangan hangat di media sosial di mana rata-rata pengguna meluahkan rasa tidak puas hati selepas melihat rakaman yang meraih ratusan ribu tontonan tersebut.

Ramai pengguna berkongsi pandangan bahawa penjual nasi lemak tidak sepatutnya mengenakan caj tambahan untuk sambal selain menghilangkan identiti hidangan sarapan pagi kegemaran rakyat Malaysia itu.

Walaupun ada beberapa individu berpendapat peniaga berbuat sedemikian untuk mengelakkan jualannya cepat basi, namun tindakan itu tetap dianggap kurang wajar kerana ramai penjual lain tidak mengenakan caj tambahan bagi mengasingkan sambal.

“Benda di dalam paket-paket kecil macam itu wajar dijual jika pelanggan mahu membeli lauk tambahan. Bebal ke apa jual nasi lemak tetapi tiada bahan asas hidangan itu. Lain kali letak label nasi santan sahaja,” kesal seorang pengguna.

“Ada sahaja peniaga jual nasi lemak RM2, siap bungkus sambal asing. Letak ikan bilis dan kacang walaupun beberapa butir sahaja. Yang ini bukan sebab nak elak basi. Tetapi memang nak jual mahal,” kata pengguna lain.

Baca juga: Guna logo halal tak sah, restoran terkenal di Kelantan beroperasi lebih 50 tahun dikompaun