Lelaki tunjal kepala wanita menangis depan Majistret, mengaku tampar dua pekerja restoran

Oleh KIM SYAZIE

Lelaki yang tular kerana menunjal kepala seorang pemandu wanita baru-baru ini, menangis ketika membuat rayuan di Mahkamah Majistret, selepas mengaku bersalah mencederakan dua pekerja restoran.

Tertuduh, Mohammad Zaim Faiz Tarmizi, 29, gagal menahan sebak ketika mengemukakan rayuan di hadapan Majistret Qasiratul Jannah Usmani Othman.

Mohammad Zaim memohon dikenakan hukuman denda yang paling minimum mengambil kira tanggungan seorang anak dan isteri yang sarat hamil.

Tertuduh juga mengakui menyesal dengan perbuatannya dan berjanji tidak akan mengulangi kesalahan sama pada masa akan datang.

“Saya mohon hukuman denda kerana kes pertama (di Penjara Tapah), telah dikenakan penjara tujuh hari. Saya mempunyai anak yang masih kecil dan isteri yang hampir bersalin.

“Saya merayu untuk membayar denda. Saya berasa bersalah dan menyesali perbuatan yang dilakukan. Saya janji tidak akan ulangi perbuatan itu lagi,” katanya seperti dilapor Kosmo!.

Berdasarkan fakta kes, Mohammad Zaim telah memaki hamun dan memarahi dua pekerja restoran dengan kata-kata kesat seperti babi sebelum menampar mereka masing-masing sebanyak dua dan empat kali di pipi.

Lelaki itu dikatakan bertindak demikian kerana pesanan makanan yang diminta lambat sampai. 

Mengikut pertuduhan pertama dan kedua, bapa kepada seorang anak perempuan berusia dua tahun itu didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas V. Dennis Pillai, 23, dan lelaki warga India, Samir Das, 28.

Tertuduh didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah restoran di Tanah Rata dalam daerah Cameron Highlands pada pukul 4.20 petang, 4 Jun 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau dengan denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Qasiratul Jannah kemudian menjatuhkan hukuman penjara sembilan hari dan denda RM1,000 bagi setiap pertuduhan dan kedua-dua hukuman berjalan serentak mulai tarikh ditangkap pada semalam.

Baca juga: Dakwa pakaian nurse ketat, MP Pas kena sekolah dengan Presiden Persatuan Jururawat