Malaysia Dateline

Lemah imuniti badan akibat amal budaya makanan tidak sihat

Satu perkara yang dilihat amat penting dalam pandemik virus Covid-19 ialah vaksin sebagai pembenteng penularannya. Vaksin dilihat dapat membina sistem ketahanan badan yang kuat. Dalam hubungan ini pengambilan vaksin tidak hanya mengurangkan gejala serius dan kes kematian membabitkan jangkitan Covid-19, tetapi bukti terbaharu menunjukkan ia dapat mengurangkan risiko penularan virus berjangkit itu kepada orang lain.

Bahkan Dekan Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Dr Zamberi Sekawi, berkata penerima vaksin Covid-19, masih boleh dijangkiti wabak itu tetapi kuantiti virus dalam badan pembawa adalah sedikit sekali gus menyebabkan kadar kebolehjangkitan atau R naught (Rt), semakin rendah.

Namun dalam mengaitkan vaksin dengan imuniti badan, saya rasakan kita tidak boleh sepenuhnya bergantung kepada dos vaksin. Perkara yang tertinggal untuk diambil perhatian ialah membina sistem imuniti badan secara fitrah, mapan dan berterusan.

Bagi saya untuk membina daya ketahanan badan daripada ancaman penyakit antaranya ialah melalui pemakanan yang sihat. Saya teringat kepada bekas majikan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) yang memperjuangkan pengambilan makanan sihat sejak lebih 40 tahun lalu.

Sepanjang bekerja sebagai wartawan dan Editor Utusan Pengguna CAP, bekas Presiden, Allahyarham S.M Mohd Idris (Pak Idris) sentiasa mengingatkan pengguna mengenai pemakanan yang sihat. Sampai kepada satu tahap beliau mahukan kakitangannya supaya tidak memakan makanan segera seperti burger contohnya.

Bagi beliau makanan segera, minuman ringan dan makanan yang diproses mengandungi banyak bahan kimia yang tidak membantu membina imuniti badan. CAP telah menjalankan banyak kajian makmal berkaitan dengan makanan segera, kandungan gula yang tinggi dalam minuman ringan dan makanan sampah yang diproses.

Dalam menguatkan sistem imuniti badan, CAP juga menjalankan kempen anti-gula, mungkin nampak bunyinya keras seolah-olah mengharamkan pengambilannya sama sekali. Ini kerana pengambilan gula dalam kalangan pengguna dan masyarakat adalah sangat berlebihan. Ia telah mendatangkan kemudaratan kepada badan, menjejaskan kesihatan, mengakibatkan penyakit kencing manis. Dalam hal ini, gula yang diproses digunakan secara berlebihan dalam minuman ringan, kopi dan teh dalam minumanm Bahkan dalam minuman  buah-buahan yang sudah mengandungi manisan asli itu pun ditambah gula sintetik. Seolah-olah pengambilan gula sudah membentuk budaya dan syaray dalam makanan dan minuman.

Kenapa saya memikirkan mengenai CAP dan Pak Idris, ini kerana sepanjang saya bekerja di sana, antara isu kepengunaan yang sentiasa ditekankan beliau ialah pemakanan yang sihat dengan asas pertanian bebas bahan kimia. Sejak  saya bekerja pada 1990 lagi CAP telah memperjuangkan pertanian organik iaitu pertanian yang bebas racun makluk perosak, organisme ubahsuai genetik (GMO) dan baja kimia misalnya.

Pertanian organik adalah pengeluaran makanan yang meningkatkan ekosistem secara hoslistik. Pertanian organik menyatukan kepelbagaian bio liar, kepebagaian bio pertanian dan pemuliharaan tanah.

Melalui pertanian organik, ia menghasilkan makanan yang sihat dan selamat kepada masyarakat. Rasanya sudah sampai masa Malaysia harus menumpukan kepada pertanian dan industri pemakanan organik. Pertanian makanan harus dijadikan keutamaan.

Saya pun tidak faham semasa pemerintahan Tun Dr Mahathir Mohamad, kenapa Universiti Pertanian Malaysia ditukarkan kepada Universiti Putra Malaysia (UPM)? Apakah nama pertanian menunjukkan kemunduran dan tidak membangun? Dasar Tun Mahathir yang cederung kepada multimedia seolah-olah meninggalkan bidang pertanian ke belakang.

Sehingga hari ini Malaysia masih mengimport banyak bahan makanan, beras misalnya di mana ketika negara Asia lain sudah mampu mengeksport beras, Malaysia yang masih perlu mengimport beras sebagai makanan ruji.   Beras yang dihasilkan dalam tempoh setahun pula menyaksikan Malaysia jauh terkebelakang iaitu sekitar 2.2 juta tan metrik berbanding China (182 juta tan metrik), India (136 juta tan metrik), Indonesia (54 juta tan metrik), Vietnam (34 juta).

Malaysia masih keterbelakang dalam penghasilan jaminan makanan dan penghasilan tanaman makanan kendiri. Mungkin wabak Covid-19 dan “lockdown” pada tahun lepas mencetuskan kesedaran kepada kempen pertanian bandar dan taman pertanian di kawasan kejiranan yang merupakan usaha awal yang baik sebagai membekali masyarakat dengan pemakanan yang sihat menggunakan baja organik.

Ia amat penting kerana pemakanan yang salah merupakan satu punca kepada berlakunya kekurangan daya imuniti badan. Rakyat harus sudah mulai menukar daripada budaya makanan proses yang mengandungi banyak bahan kimia kepada budaya makanan sihat dan organik.

Jika ketahanan badan sudah lemah, sistem pemakanan kita yang tidak sihat penuh racun di dalam badan, maka serangan Covid-19 meruntuhkan terus imuniti badan kita. Inilah kesan budaya makanan Barat yang liberal muatan kapitalisme yang kita amalkan sekarang sehingga membawa kemudaratan kepada masyarakat dan negara.!

—————–

Kolumnis adalah pensyarah Jabatan Komunikasi, Fakulti Komunikasi, Seni Visual dan Pengkomputeran, Universiti Selangor (Unisel).