Leman bakal saman pemfitnah elak cemar nama baik Amanah

Leman bakal saman pemfitnah elak cemar nama baik Amanah

Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) Parlimen Sik, Sulaiman Ibrahim tidak akan berdiam diri terhadap pemfitnah yang menuduhnya menghina dan mengeji golongan ulama dalam parti Pas.

Beliau yang dikenali sebagai Leman Raja Lawan itu berkata, fitnah tersebut datang daripada dua individu yang menggunakan nombor telefon 019-957 1917 dan 012-369 6946.

Sehubungan itu, beliau membuat laporan polis ke atas mereka terbabit, Isnin lalu bagi mengelak imej Amanah terus terjejas ekoran kenyataan yang viral di media sosial pada masa ini.

“Saya ingin mengambil tindakan undang-undang dan akan menyediakan peguam bagi mengemukakan saman terhadap kenyataan fitnah tersebut.

“Melalui peguam, saya akan mengambil tindakan tuntutan defamasi atas amaun RM2.5 juta seorang atau berjumlah keseluruhan RM5 juta bagi mendidik mereka supaya insaf,” tegasnya.

Presiden Pertubuhan Angkatan Amilin Malaysia (Panglima) itu berkata, tindakan mahkamah tersebut juga bagi memberi peringatan kepada individu lain supaya tidak memainkan politik fitnah dan kotor hanya mahu mendapat pengaruh.

Mengulas lanjut, Leman berkata, tuduhan mereka terbabit mempunyai niat jahat dan mencemar nama baik parti dan dasar Islam yang menjadi teras kepada perjuangan Parti Amanah.

“Saya ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah palsu dan berniat jahat menggunakan nama saya. Fitnah terhadap saya saya itu menjejaskan kepercayaan orang ramai terhadap Parti Amanah dan diri saya sendiri,” tambahnya lagi.

TAGS