Malaysia Dateline

Lembaga Disiplin PKR tidak sesekali terpengaruh desakan kumpulan bantah pecat Zuraida

Lembaga Disiplin PKR tidak sama sekali akan terpengaruh dengan desakan kumpulan untuk membantah pemecatan Naib Presiden PKR Zuraida Kamaruddin.

Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tindakan menyokong atau membantah di mana-mana lokasi lain juga sama sekalitidak akan mempengaruhi Lembaga Disiplin yang harus memutuskan sebarangkeputusan secara bebas.

“Lembaga Disiplin akan diminta memantau tindakan anggota-anggota parti yang melanggar arahan tersebut,

“Merujuk kepada kumpulan yang hadir dan berkumpul di depan Ibu Pejabat Parti Keadilan Rakyat bagi menyokong atau membantah pemecatan Zuraida Kamaruddin, saya meminta kepada mereka untuk bersurai” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini sekumpulan anggota Majlis Pimpinan Negeri Selangor  berhimpun di hadapan bangunan Ibupejabat PKR bagi menunjukkan solidariti kepada Zuraida yang dikenakan tindakan tatatertib oleh Lembaga Disiplin parti.

Zuraida dijangka akan menyerahkan jawapan kepada Notis Tunjuk Sebab kepada Lembaga Disiplin partu dan dijangka sidang medianya akan diadakan tengah hari ini.

Zuraida diberikan tempoh selama 14 hari bagi menjawab surat tunjuk sebab yang dikeluarkan ke atasnya pada 17 Januari lalu.

Lembaga Disiplin PKR dilapor memulakan siasatan pelbagai laporan salah laku membabitkan ahli dan pemimpin kanan parti termasuk Zuraida dipercayai berkait dengan insiden ketika dan selepas Kongres Nasional PKR 2019 di Melaka pada Disember lalu.

Zuraida dan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, antara pemimpin yang dikatakan memboikot hari terakhir kongres namun mengadakan satu majlis makan malam di Kuala Lumpur pada hari yang sama.

Ketika berucap pada majlis makan malam itu dipercayai di Hotel Renaissance, Zuraida menegur kepimpinan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.