Lembaga Disiplin tolak kes berprofil tinggi Muhyiddin, Mukhriz, dibawa ke Majlis Tertinggi Umno

Lembaga Disiplin tolak kes berprofil tinggi Muhyiddin, Mukhriz, dibawa ke Majlis Tertinggi Umno

[Sertai Telegram kami untuk berita terikini di t.me/mdateline]

Lembaga Disiplin menulis surat kepada Majli Tertinggi Umno menolak untuk mengendalian ‘kes berprofil tinggi’ melibatkan Tan Sri Muhyiddin Yassin yang digantung jawatan sebagai timbalan presiden Umno dan bekas Menteri Besar Kedah Datuk Seri Mukhriz Mahathir menyebabkan kes berkenaan dipulangkan semula kepada MT untuk tindakan lanjut.

Setiausaha Agung Umno Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata perkara itu diputuskan selepas Lembaga Disiplin menulis surat kepadanya menyatakan ia ‘kes berprofil tinggi’ dan memulangkan semula kes tersebut kepada MT untuk tindakan lanjut.

“Sebagai setiausaha agung, saya hanya akan bawakan apa yang telah ditulis kepada saya oleh Lembaga Disiplin iaitu agar perkara ini dirujuk kepada Majlis Tertinggi supaya membuat keputusan.

“Oleh kerana Lembaga Disiplin sendiri tidak mahu mengambil keputusan atas alasan ‘kes berprofil tinggi’ … tak kan kita nak diamkan. Jadi, sebagai setiausaha agung saya cuma boleh bawa kepada MT untuk tindakan seterusnya,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Program Semarak Komuniti 1Malaysia di sini hari ini.

Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Muhyiddin bahawa keputusan membawa kes itu kepada MT Umno sebagai melanggar prosedur tatatertib dan perlembagaan parti.

Tengku Adnan berkata Umno sebagai sebuah parti berstrukutur akan sentiasa memastikan tindakan yang diambil adalah mengikut aturan sedia ada, dan sebagai bekas timbalan presiden UMNO, beliau yakin Muhyiddin faham dan tahu tindakan tersebut sama sekali tidak melanggar mana-mana peraturan.

Beliau berkata Perlembagaan Umno jelas menyatakan bahawa MT berhak untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai Majlis Tertinggi, malah ia juga boleh membuat keputusan-keputusan selain daripada apa yang tertera dalam tataetika parti dan perlembagaan.

Ditanya apakah MT akan membuat keputusan mengenai kes Muhyiddin dan Mukhriz pada mesyuarat yang dijangka berlangsung pada 27 Mei ini, beliau berkata tugasnya cuma membawa permintaan Lembaga Disiplin kepada MT, selebihnya terpulang kepada anggota mesyuarat.

Mengenai tindakan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad meminta pengundi tidak mengundi Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Kuala Kangsar, Perak yang akan dijalankan serentak pada 18 Jun depan, Tengku Adnan berkata ia sesuatu yang tidak patut dilakukan.

“Kenapa perlu buat begitu … saya hanya boleh minta beliau (Dr Mahathir) fikirkan apa yang hendak dicakapkan dan jangan membuat kenyataan hingga orang boleh putar belit dan manipulasikan situasi, yang akhirnya akan merugikan BN, parti yang pernah memberinya kuasa untuk mentadbir negara lebih 20 tahun,” katanya.

TAGS