Malaysia Dateline

Zuraida Kamaruddin

Lembaga Disiplin tolak surat tangguh pendengaran dikemukakan Zuraida

Lembaga Disiplin Parti Keadilan Rakyat hari ini menolak surat permohonan penangguhan pendengaran yang dikemukakan Naib Presidennya, Zuraida Kamaruddin.

Pengerusinya, Ahmad Kasim berkata, tindakan Zuraida meminta penangguhan selepas Menteri itu menerima dua surat (saman) dari pihak peguam yang mewakili Farhash Wafa Salvador dan Dato’Seri Saifuddin Nasution Ismail.

“Pihak YB Zuraidah juga memaklumkan kandungan kes yang dirujuk oleh kedua-dua surat peguam ini menyentuh isu sama yang Lembaga Disiplin keluarkan.

“Saya juga ingin mengingatkan semula bahawa sebanyak tiga tuduhan disiplin dikenakan kepada YB Zuraidah, manakala kes yang melibatkan saman sivil ini hanya satu kes sahaja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, terdapat perbezaan antara kedua-dua proses itu kerana sebanyak tiga pertuduhan disiplin difailkan terhadap Zuraida sementara hanya satu sahaja membabitkan kes saman sivil.

Ahmad berkata, pihaknya turut mengambil maklum hasrat penangguhan tersebut berdasarkan sidang akhbar oleh setiausaha politik Menteri terbabit pada minggu lalu.

“Namun oleh kerana kes-kes ini merupakan kes sivil dan bukannya kes jenayah, maka Lembaga Displin memutuskan sesi pendengaran untuk kes Zuraida akan diteruskan.

“Lembaga Disiplin memberi tempoh masa kepada Zuraida hingga 20 Februari ini, memandangkan kesibukan Zuraida sebagai seorang menteri kabinet,” ujarnya.

Terdahulu, Zuraida dilaporkan mengambil cuti daripada semua jawatannya dalam parti sehingga Lembaga Disiplin parti selesai menjalankan siasatan berhubung ucapannya yang mengkritik pimpinan secara terbuka.

Setiausaha Politiknya, Nor Hizwan Ahmad, berkata pemberitahuan bercuti menerusi surat itu dihantar kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Nor Hizwan berkata, satu surat juga dihantar kepada Lembaga Disiplin, meminta supaya prosiding dan tatacara siasatan terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu ditangguhkan seketika berikutan beliau menerima dua surat berkait tindakan undang-undang.