Malaysia Dateline

Lembaga Disiplin Umno akan ambil tindakan segera siasat

Lembaga Disiplin Umno akan menyiasat dan mengambil tindakan segera berhubung aduan pertemuan beberapa Ahli Parlimen UMNO di kediaman rasmi Menteri Hal Ekonomi, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali di Presint 10, Putrajaya malam tadi.

Pengerusinya, Tan Sri Mohamed Apandi Ali berkata, beliau difahamkan akan menerima beberapa aduan berhubung pertemuan Ahli -Ahli Parlimen UMNO itu ke rumah Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Lembaga Disiplin akan segera mengambil tindakan dengan menyiasat perkara itu mengikut prosedur sedia ada dan membuat keputusan sewajarnya.

“Perlu ditegaskan Lembaga Disiplin parti diberi amanah dan tanggungjawab oleh parti dengan kuasa-kuasa tertentu di bawah Perlembagaan Umno dan akan menjalankan tanggungjawabnya secara tegas, jujur dan saksama ‘without fear or favour’,” katanya dalam satu kenyataan seperti dipetik Sinarharian hari ini.

Hari ini dilaporkan juga Ahli Majlis Tertinggi Umno Datuk Lokman Noor Adam mendesak Lembaga Disiplin Umno mengambil tindakan terhadap MP parti itu sekiranya dakwaan sebagaimana dilaporkan media itu berlaku di kediaman Mohamed Azmin.

Malam tadi, Mohamed Azmin dikatakan mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) di kediaman rasminya.

Dipercayai kesemua mereka berada di rumah tersebut sejak jam 7 petang dan kelihatan meninggalkan kediaman Timbalan Presiden PKR itu pada jam 11 malam.

Terdahulu kecoh satu mesej bertebaran menerusi aplikasi WhatsApp mengenai pertemuan melibatkan Mohamed Azmin dengan beberapa Ahli Parlimen PH dan BN.

Mesej yang tersebar itu turut mendakwa berlaku pertemuan antara Mohamed Azmin dengan Ahli Parlimen Sembrong, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Menurut mesej tersebut pertemuan itu didakwa diadakan bagi mendapatkan sokongan Ahli Parlimen terbabit untuk menggagalkan peralihan kuasa Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad kepada Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.