Lembaga getah tidak memihak penoreh, jaga keuntungan pihak lain

Lembaga getah tidak memihak penoreh, jaga keuntungan pihak lain

Pengurusan Lembaga Getah Malaysia (LGM) dilihat tidak menyebelahi pekebun dan penoreh sebaliknya seolah-olah terdapat permainan menjaga keuntungan pihak tertentu, kata Pengarah Biro Tanah, Pertanian dan Luar Bandar Parti Amanah Negara (Amanah) Negeri Kedah, Sulaiman Ibrahim.

“Purata pendapatan penoreh masih lagi berada di tahap terlalu rendah walaupun diumumkan purata bulanan harga getah gred SMR 20 FOB berada di paras RM5.50 sekilogram,” katanya.

Pengumuman pemberian Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada penoreh, ujarnya yang juga dikenali sebagai Leman Raja Lawan, bukanlah satu langkah berkesan bagi membantu penoreh bawahan yang telah lama menantikan kenaikan harga komoditi itu.

“Bahkan, tindakan mahu menghapuskan orang tengah hanya tertulis sudah puluhan tahun tetapi tiada pelaksanaan seperti dijanjikan oleh LGM,” jelas Ketua Amanah Parlimen Sik itu sebagai reaksi ke atas kenyataan Unit Komunikasi Korporat LGM baru-baru ini.

Mengulas lanjut langkah LGM dalam menangani penurunan harga getah terhadap penoreh termasuk menangguhkan kutipan ses getah, Leman berkata, Amanah Negeri Kedah sedia berdialog dengan institusi itu bagi membincangkan langkah sewajarnya untuk membebaskan penoreh daripada kemiskinan tegar.

“Dialog bersama wakil Amanah Kedah dan LGM berkenaan isu SMR 20 FOB, IPG dan fakta tepat yang menyeluruh berkenaan kelebihan meletakkan harga lantai haruslah dibuat di hadapan rakyat iaitu penoreh supaya mendapat penjelasan yang menyeluruh.

“Adakah ianya mampu mengubah nasib penoreh bawahan atau LGM tidak sedar isu getah ini telah menyebabkan ramai penoreh di kawasan pedalaman terjebak ke dalam peningkatan miskin tegar?” bidasnya.Amanah giat turun padang menyampaikan bantuan kepada penoreh getah

Untuk rekod, Amanah Kedah sebelum ini telah beberapa kali menuntut LGM melaksanakan harga lantai atau harga terendah yang munasabah iaitu RM3.50 selaras mengikut keadaan ekonomi getah dunia.

LGM dalam kenyataannya di Berita Harian, 29 April lalu antara lain berkata, kerajaan telah memberikan IPG sebanyak 40 sen, 50 sen dan 25 sen masing-masing untuk tiga bulan pertama tahun ini ke atas setiap kilogram getah beku yang dikeluarkan pekebun kecil di Semenanjung.

“Berdasarkan purata pengeluaran getah beku sehektar sebanyak 3,000 kilogram setahun, IPG berupaya memberi pendapatan tambahan sebanyak RM62.50 hingga RM125 sebulan.

“Sejak pelaksanaan IPG pada November 2015 sehingga kini, RM18 juta dibayar kepada pekebun kecil dengan 93,365 jumlah tuntutan,” dipetik daripada kenyataan LGM itu.

Walau bagaimanapun, tinjauan Malaysia Dateline awal tahun ini di sekitar Sik mendapati majoriti golongan penoreh pawah terutamanya mengeluh kerana pendapatan mereka terjejas teruk iaitu kurang daripada RM450 sebulan akibat kejatuhan harga getah sekerap.

Sejak akhir tahun 2015 juga, Amanah Sik telah mengenal pasti tidak kurang daripada 197 keluarga penoreh berstatus miskin tegar di kawasannya yang hidup dalam keadaan serba daif dan kekurangan makanan.

Dalam hal berkaitan, Persatuan Kebangsaan Pekebun-Pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) pada April lalu dilaporkan turut mendesak isu harga getah diberi keutamaan dengan merombak sistem sedia ada kerana tidak telus dan terdedah kepada manipulasi harga rasmi yang dihebah oleh LGM selain harga getah rasmi Malaysia didapati lebih rendah berbanding nilai di pasaran serantau.

TAGS